Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Rempit Grindr dan Cerita Orang Biasa

Oleh Ahmad Dosa

Sekiranya kau ingin menetap di Ipoh, kau akan menjadi popular di Grindr hanya untuk sementara waktu. Muka baru memang akan jadi buruan penduduk tetap Grindr setelah bosan dengan penanggal berbadan dengan kepala entah ke mana dan atuk bercicit lima yang akan ulang tayang setiap kali aplikasi itu dibuka.

Tapi Taman Grindr di Ipoh juga merupakan cerminan keragaman komuniti minoriti seksual pekan. Orang Ipoh ini aku kira lain dari yang lain juga. Kalau kau tidak segan menemani tukang penyeri siang dan malam dunia yang mampu kau perolehi dengan pendaftaran mudah di Grindr, setiap si polan itu adalah cerita dan pengalaman untuk kau nostalgiakan Ipoh satu hari nanti.

Selain daripada bapa-bapa ber-jockstrap yang mengekori aku sepanjang masa di sauna dan pelawat abadi yang cukup prihatin untuk menyewa motel tidak jauh dari kediaman kolej aku berulang kali (beserta upah teman), ada juga hidupnya aku tidak melihat sekadar transaksi atas katil (atau bilik wap) sahaja.

Kongsi Gelap, Mat Batu dan Filsuf

Aku pernah menemani kontraktor berumur yang aku rasakan ada perkaitan dengan kongsi gelap bernama UMNO mengedar bekalan herba stimulan di restoran Siam awal pagi di sekitar pekan dalam Mercedes model lama yang dikatakan jimat minyak. Sambil mengedar, ada remaja hadiahkan satu karton keretek Surya Gudang Garam seludup. 

“Anak ikan aku,” ujar kontraktor kongsi gelap itu sambil tersengih buruk. 

“You wish,” aku balas dalam diam.

Pernah juga aku terpaksa melayan ugutan bunuh mat batu dengan cota yang tersedia dalam fanny pack kerana terperangkap dalam drama pembekal dan pengguna (dan isteri dia). Sepanjang panik, hati aku berzikir mencelakakan dia. 

“Dah la berhutang dengan aku, ada hati nak ugut bunuh aku pula.”

Bila teringat kembali mat batu bercota itu, aku hanya boleh tertawa dengan si aku yang berumur 20 tahun kerana termakan dengan ugutan kosong sambil terketar-ketar menunggu mati yang tak sampai juga bila pagi tiba. Sekurang-kurangnya aku sudah tidak takut mati lagi (kalau berani, cubalah ugut aku mati lepas ini!).

Teringat juga dengan backpacker dari Sepanyol yang mengajar aku tentang pekan kecil itu lebih dari penduduk pekan yang lain. Dia dengan seluar pendek yang hanya dibasuh sekali seminggu, dan suka berjemur bawah matahari Ipoh yang panas tak terkata, berjaya menimbulkan kasih aku untuk anak anjing yang menginap di tokpekong kecil sekitar Sungai Kinta yang dia jenguk setiap malam.

Tidak lupa juga dengan si polan gagah berfalsafah yang ajar aku teguk Jose Cuervo dan Coke di Taman D.R. dan telan daging si merah jambu pada bulan puasa. Dosa ponteng puasa dah tercatat, tambah pula dosa makan daging itu. Rutin mingguan kami adalah menonton wayang sambil kepala di awangan selepas bersidang asap penenang untuk lari sebentar dari dunia belajar yang aku benci dan dunia menganggur yang dia sesali.

Ilustrasi oleh Celine Wong

Rempit Grindr di Dataran Ipoh

Namun, ada juga manusia yang menjadi pengalaman untuk aku walaupun tanpa penceritaan yang mewah. Hidup orang biasa, dengan cerita yang biasa, dalam situasi yang biasa, tetapi ikhlas menghidupi hidup biasanya, menimbulkan kasih aku untuk orang-orang biasa ini.

Sudah menjadi kebiasaan untuk aku jarang di bilik malam hujung minggu sebab terlalu bosan melayan nota yang tidak terhinggap juga ilmu dalam dada walaupun ditelaah berjuta kali. Selalunya aku malas untuk melayan profil tidak berupa yang “Hai, mana tu? Lepak jom” di Grindr, tetapi dengan ketandusan bekalan untuk bersidang serta kekosongan jadual aku malam Sabtu itu, aku terima pelawaannya.

Aku diminta untuk pergi ke Dataran Ipoh. Aku sangkakan hanya akan berduaan melayan malam sendu bosan, tapi yang menanti adalah segerombolan penunggang motosikal dan ekzos yang mampu pecahkan rekod bunyi dunia. Wajah-wajah muda yang ada banyaknya lusuh dan nampak bengis namun ceria berbalasan jenaka menikmati kebersamaan komuniti mereka; komuniti Rempit.

Aku cari tukang jemput di Grindr dan terserempak setelah lama dia melambai. Aku cuba cari motosikalnya namun tiada guna dia beri jenis boncengan dia kerana aku buta jenama. Orangnya berupa cukup biasa sehinggakan aku tidak mampu mencari imej dia dalam benak aku yang pelupa ini. Bual kami sedikit juga, tiada apa yang aku berjaya tanya untuk dia berikan lebih dari sepatah perkataan sahaja. Mereka semua sedang teruja. 

“Ada race malam ni.” 

Aku hanya terfikir, 

“Aku bohsia gadai mamat ni ke?”

Setelah sekian lama menunggu, ekzos motosikal berbunyi semakin rancak. Mungkin feromon lumba sudah meliputi udara, mungkin kerana malam sudah cukup gelap untuk mulakan perlawanan, tetapi naluri pelumba rempit ini sudah asyik. Tangan mereka sudah gatal untuk menekan clutch motosikal dan mereka sedang dahagakan angin kencang untuk membadai badan muda mereka. Lumba akan bermula. Aku bonceng motosikal yang aku masih tidak kenal jenamanya, menjadi peneman rempit Grindr ini menghidupi malamnya.

Lepak Biasa Luar Biasa

Tapi malam lumbanya hanyalah angan sahaja. Polis sedang menunggu jemaah hijrah yang ingin bertawaf sekitar pekan ini. Beberapa minit sahaja di atas motosikal itu sebelum geng lumba ini terpaksa singgah di kedai mamak kosong tidak bernama.

Bergelas-gelas teh ais yang terlalu manis aku hirup sebab terlalu bosan menunggu polis tidur. Aku sedar sekumpulan rempit ini hampa mereka tak dapat tinggalkan skidmark di jalan pekan. Tapi aku lega aku tidak perlu bermalam dalam lokap sekiranya ditahan polis yang menunggu di selekoh litar piala lumba tidak diiktiraf ini.

Kedai mamak ini berjaya menenggelamkan kekok antara aku dan rempit Grindr itu juga. Perasaan aku yang lega dengan lumba tertunda mungkin berbeza dengan dia yang sedang hampa. Tapi kebosanan ini menyatukan. Dia mula buka cerita tentang hidup dia.

Tentang ruang tidur kecilnya yang dikongsi satu keluarga. Tentang sekolahnya yang dia malukan namun dikongsikan bersama rakan rempitnya. Tentang bebasnya dia di malam hari di atas motosikal buruk yang dikongsikan dengan adik beradiknya. Tentang hidup untuk dia yang dia tidak fikirkan keesokan harinya kerana tiada beza dengan hari sebelumnya. Tentang dia di Grindr bukan sebagai seorang gay, tetapi PLU, suatu kenyataan yang dihidupi namun dinafikan. Tentang hidup biasa dia.

Tentang dia di Grindr bukan sebagai seorang gay, tetapi PLU, suatu kenyataan yang dihidupi namun dinafikan.

Lepak biasa itu tidaklah begitu gah untuk dibedah. Tetapi lepak biasa itu adalah pengalaman yang tidak biasa bagi aku. Aku telah bersama dengan orang yang aku tidak akan dapat bersama sekiranya aku terus menjiwai dunia hanya untuk mencari cerita luar biasa. Orang biasa dengan cerita biasa mereka punyai hak juga untuk terus mengikat kita kepada adanya kehidupan biasa.

Malam sudah terlalu larut untuk terus berbual tentang dunia yang bukan aku dan dia miliki. Dia pelawa aku untuk bersama menemani tidurnya dalam ruang sesak. Aku tolak. Aku yang sedang mengantuk fikir tidak perlulah untuk terus bersama. Dia hantar aku pulang dan sebelum aku beransur ke bilik, tersurat janji untuk bertemu lagi di lain hari.

Tetapi janji aku dan dia terbenam dalam hidup biasa dia, dan hidup aku yang tidak memerlukan dia.

Aku dalam cerita ini tidak terungkai siapa. Identiti tiada guna dalam cerita orang biasa. Aku hanyalah tukang cerita, barangkali cerita ini tidak dipunyai dan dimiliki. Tetapi yang pasti, cerita ini adalah cerita Taman Grindr di Ipoh, dan orang-orangnya yang biasa.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Ahmad Dosa adalah seorang penglipurlara moden, tulis di alam maya sahaja sebab haram menunjukkan mulut kepada dunia.

Leave a Reply