Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Ratu Segala Ilmu: Mencari IKON trans woman

Oleh DINA SALVATORE PATTINSON.

Penglibatan saya dalam dunia sukarelawan di dunia trans women adalah secara tidak sedar. Seorang rakan saya telah menjemput saya dalam group tertutup untuk trans woman di Malaysia pada 2014. Isu-isu yang dibincangkan di situ telah membuka mata saya tentang nasib komuniti trans women di Malaysia. Dari situ saya mula memberi buah fikiran dan juga mendapat tempat dalam komuniti saya hingga dikenali sebagai Dewi Keamanan.

Selepas saya terlibat di beberapa program saya pun mengenali Gisele Rimong Lidom, salah seorang aktivis popular di kalangan komuniti trans women di Malaysia. Akhirnya, Gisele memilih saya sebagai salah seorang dalam pengurusan acara IKON TW 2017 yang dianjur oleh Pertubuhan Kebajikan Sinar Pelangi (PKSP). Saya merupakan salah seorang sukarelawan untuk memastikan IKON TW berjalan dengan lancar walaupun pada hakikatnya saya tidaklah 100 peratus menyumbang tenaga kepada acara yang julung-julung kalinya dijayakan buat komuniti trans women di Malaysia.

Saya berasa bersyukur dan berbangga kerana bertugas sebagai pembantu dalam majlis. Saya bersama rakan saya Angelina bertindak sebagai penyambut tetamu. Ini adalah pengalaman pertama saya mengendalikan meja-meja jemputan yang terdiri daripada meja untuk VVIP, VIP, dan tetamu biasa. Kekalutan berlaku bila saya telah keliru hingga menukar tetamu kenamaan dengan tetamu biasa hingga berlaku sedikit ketegangan antara saya dan para tetamu. Hingga Gisele pun naik hantu memarahi saya. Namun kekalutan itu akhirnya diselesaikan dengan diplomasi. Itulah pengalaman yang paling berharga buat saya dan rakan Angelina yang tidak dapat dilupakan.

Untuk menjalani kehidupan yang lebih mencabar

Majlis ini agak berbeza dengan majlis ratu-ratu cantik yang sinonim dengan kehidupan trans women. Dulu para peserta dinilai berdasarkan kecantikan, penampilan, pakaian, dan keyakinan diri. Di pentas Ikon TW pula setiap peserta dinilai lebih dari itu. Setahun sebelum tempoh pertandingan di atas pentas para peserta dikehendaki mengikuti program ilmu untuk persediaan menghadapi kehidupan sebagai trans women di Malaysia, seperti pengetahuan asas undang-undang di Malaysia, ilmu berkaitan kesihatan, penyakit berkaitan seksual dan seks yang selamat, ilmu bagaimana bercakap di khalayak ramai, ilmu berkaitan SOGIE (Sexual Orientation and Gender Identity and Expression). Saya sendiri diberi tugas mengendalikan slot SOGIE bersama para peserta.

Pada mulanya, ramai diantara peserta yang masih lemah dalam ilmu berkenaan SOGIE, undang-undang dan juga info kesihatan. Ini adalah keadaan biasa yang dialami oleh trans women di Malaysia yang boleh dikatakan lebih mengejar kecantikan, wang dan mungkin lelaki sebagai matlamat hidup mereka. Namun setelah melalui pelbagai sesi ilmu, para peserta mula sedar bahawa mereka perlu keluar dari hidup yang tipikal sebagai trans women agar lebih bersedia, yakin dan berinformasi untuk menjalani kehidupan yang lebih mencabar.

Ada di antara finalis telah faham mengenai SOGIE kerana telah banyak kali menyertai beberapa program yang dianjurkan NGO sebelum ini, jadi mudahlah bagi mereka untuk memahaminya. Tapi bagi finalis yang tidak pernah menyertai program kami, SOGIE adalah perkara baru buat mereka. Terdapat kekeliruan sebenarnya diantara mereka perbezaan identiti gender seperti trans man dan trans women dengan seksual orientasi seperti homoseksual, iaitu gay dan lesbian. Saya telah menjelaskan kepada mereka bahawa lelaki gay dan perempuan lesbian adalah mereka yang berseksual orientasi homoseksual, tetapi gender mereka tetap lelaki atau perempuan. Itu tidaklah sama dengan trans man dan trans woman yang mengalami Gender Dysphoria. Malahan ada trans man yang gay dan trans woman yang lesbian. Daripada penjelasan itu mereka faham diversiti komuniti kami serta perbezaan gender identiti dengang seksual orientasi.

Untuk menjadi suara komuniti

Saya juga sangat gembira pada masa kemuncak acara IKON TW 2017, ramai transwomen yang memuji dengan konsep pertandingan yang lebih kepada pencarian ikon yang mampu jadi pelapis untuk bersuara bagi pihak komuniti. Para peserta ratu-ratu biasa selalunya akan menumpukan kostum yang terbaik yang akan dipakai manakala penganjur menumpukan pentas terbaik. Ini berbeza dengan IKON TW yang mengambil kira aspek pengisian ilmu buat para finalis malah kehadiran mereka dalam sesi ilmu juga dikira. Juara IKON TW pula bukan hanya menjunjung mahkota kemenangan tapi akan bertugas sebagai jurucakap komuniti pada program-program NGO tanpa bayaran termasuk menjadi sukarelawan pada penganjuran IKON TW akan datang. Jadi ratu bukan sahaja cantik tapi bijak serta bersuara bagi komuniti dan sukarelawan untuk program-program komuniti. Pihak luar seperti wakil dari kedutaan US juga kagum dengan acara pada malam itu dan berjanji akan memberi sokongan untuk acara yang sama pada masa akan datang.

Selepas berakhirnya pentas IKON TW 2017 pada Januari yang lalu para pemenang iaitu juara Rania, tempat ke2 Nik Rahamah dan tempat ke3 Fazelyn, bukan hanya tersenyum tapi perlu menggalas tugas untuk menjadi suara komuniti di bawah program yang dikendalikan oleh PKSP kepada para peserta tersebut. Sebab itulah mereka kena ada ilmu untuk bercakap dan tahu serta faham isu transwomen di Malaysia.

Pengetahuan ilmu berkaitan transwomen di Malaysia inilah yang akan dinilai semasa program setahun untuk para peserta akan datang untuk IKON TW 2019. Semoga semakin ramai pelapis yang akan dilahirkan melalui program ini pada masa akan datang. Saya yakin dengan ungkapan biarlah kita cantik bukan hanya cantik tapi juga penuh ilmu di dada. Saya akan terus menjadi sebahagian ahli jawatan kuasa sukarela di pentas IKON TW akan datang.

~ ~ ~ ~ ~ ~
Dina adalah seorang penasihat kecantikan dan suka menulis berkenaan sejarah, seksualiti, gender, agama, kebudayaan, dan bangsa di Facebook.

Ratu Cantik dalam Dunia Mak Nyah

Leave a Reply