Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Memberdayakan akses kepada keadilan bagi semua, termasuklah golongan LGBTIQ

27 Mei 2020

Oleh Jaringan LGBTIQ++ Se-Malaysia

See here for the English version.

Kami menyambut baik kebenaran (leave) yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung dengan petisyen untuk menyemak Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas alasan perundangan tidak kompeten. Penghakiman tersebut disampaikan oleh Hakim Abang Iskandar pada 14 Mei 2020.

[FAQ] Mahkamah Persekutuan membenarkan Undang-Undang Syariah Selangor berkenaan Persetubuhan Luar Tabii Disemak Semula

Di luar bidang kuasa perundangan negeri Selangor

Petisyen itu menghujahkan bahawa penggubalan Seksyen 28 adalah di luar bidang kuasa negeri Selangor atau ultra vires kerana terdapat batasan undang-undang yang boleh digubal oleh kerajaan Negeri. Hanya kerajaan Persekutuan yang dibenarkan membuat undang-undang jenayah seperti yang disenaraikan dalam Perkara 4 Senarai Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun negeri-negeri berkuasa untuk menggubal undang-undang bagi orang Muslim, mereka tidak dibolehkan membuat undang-undang yang sudah wujud – seperti dalam, Perkara 1 dalam senarai Negeri yang membenarkan Negeri ‘mewujudkan dan menghukum kesalahan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu’ kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan ‘. Seksyen 28 Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) bertindih dengan Seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan, undang-undang Persekutuan. Ini tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Petisyen menentang kemanusiaan dan ketidakadilan, bukan agama

Jurucakap Jaringan LGBTIQ+, Thilaga Sulathireh, Numan Afifi, dan Chong Yee Shan, menyatakan, ‘Berdasarkan pengalaman lepas, mungkin ada yang akan menganggap bahawa petisyen ini mencabar agama, tetapi asas kepada petisyen ini adalah pembelaan diri terhadap ketidakadilan dan sikap tidak berperikemanusiaan’, mereka berkata lagi ‘Kami berharap berlakunya perbincangan tentang penghakisan batasan di antara Persekutuan dan Negeri, privasi dan komuniti dan sebab-sebab peningkatan diskriminasi yang tidak terkawal terhadap individu LGBT akan tercetus. ‘

Latar belakang kes

Pemfailan petisyen tersebut adalah berkaitan dengan kes pendakwaan “percubaan melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii” di bawah Seksyen 28 (dibaca bersekalian dengan Seksyen 52) pada bulan November 2019. Mereka telah ditangkap dalam serbuan di sebuah kediaman peribadi pada tahun 2018 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan. 

Membuka ruang keadilan bagi individu LGBTIQ

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah dialu-alukan memandangkan trend pendakwaan atas dasar percubaan melakukan persetubuhan “bertentangan dengan yang hukum tabii” terhadap individu LGBTIQ di seluruh negara yang semakin berterusan sejak tahun 2018 ketika dua orang perempuan dijatuhkan hukuman denda dan 6 kali sebatan dalam mahkamah terbuka atas percubaan musahaqah (hubungan seksual antara perempuan). Seksyen 28 Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) adalah di antara sejumlah undang-undang Negeri dan Persekutuan yang menjenayahkan individu atas dasar seks secara rela dan orientasi seksual yang sebenar atau yang dirasakan.

Dengan membenarkan petisyen itu didengar berdasarkan merit, Mahkamah Persekutuan membuka ruang untuk penelitian undang-undang dan kesan buruknya terhadap individu LGBTIQ. Kes ini akan memberi negara ini peluang untuk menangani undang-undang anti-LGBTIQ yang mengekalkan diskriminasi, penjenayahan dan keganasan yang didanai negara terhadap individu LGBTIQ, di samping menghalang akses ke pengadilan, perkhidmatan, dan peluang untuk menjalani hidup dengan bermaruah. Keputusan itu juga penting bagi mereka yang menuntut keadilan tanpa mengira orientasi seksual dan identiti gender. Dengan kebenaran tersebut, Mahkamah menegakkan semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, merangkumi prinsip perlindungan yang saksama dan prinsip proses undang-undang wajar untuk semua.

Skop Seksyen 28 yang terlalu luas dan samar-samar pada masa ini mengizinkan pihak berkuasa negeri sewenang-wenangnya menguatkuasakan prasangka dan sentimen homofobik sedia ada mereka yang menghalang akses kepada keadilan. Semasa serbuan berlaku, misalnya, lelaki-lelaki tersebut mengalami pengaiban dan menerima layanan buruk yang merendahkan martabat daripada pihak JAIS. Hak mereka untuk mendapatkan peguam serta pemakluman segera dan memadai tentang hak mereka untuk mendapatkan nasihat guaman telah dinafikan. Merujuk kepada konteks pertembungan yang semakin meruncing di antara badan-badan negeri dan golongan agama konservatif selama beberapa dekad yang lalu, jelas bahawa undang-undang negeri ini secara tidak seimbang digunakan oleh pihak berkuasa untuk menjenayahkan masyarakat yang dipinggirkan dan dianiaya berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender.

Seksyen 28, seperti undang-undang negeri lain yang tidak dapat dipisahkan sifat diskriminasinya dan melanggar pelbagai hak asasi manusia, terutama hak untuk hidup dengan bermaruah – melanggar Perlembagaan Persekutuan – iaitu, Artikel 8 tentang kesaksamaan di hadapan undang-undang, Artikel 5 tentang hidup dengan bermaruah , privasi dan proses undang-undang sewajarnya, dan Artikel 10 mengenai kebebasan bersuara.

Seksyen 28 juga melanggar Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) Artikel 1, 2 dan 7 tentang hak untuk kesaksamaan,tidak didiskriminasi dan bermaruah, dan Artikel 5 mengenai hak untuk bebas daripada penyiksaan dan hukuman kejam.. 

Kesan undang-undang ini dan penerapannya oleh mahkamah tidak terlepas daripada akibat kumulatif terhadap realiti hidup individu LGBTIQ. Setakat ini kami menyaksikan laporan berat sebelah dan sensasi secara konsisten oleh media yang menggambarkan komuniti LGBTIQ sebagai menyimpang dan berdosa, program anti-LGBTIQ yang didanai oleh kerajaan, amalan berleluasa pengambilan pekerja yang mendiskriminasi, dan keganasan keluarga terhadap individu LGBTIQ. Apabila komuniti LGBTIQ telah berjaya mendedahkan pergelutan hidup mereka dan menyuarakan isi hati mereka, mereka digertak, diganggu dan berdepan dengan maut dari pihak berkuasa dan orang ramai secara umum.

Mahkamah memainkan peranan penting dalam menegakkan dan menjaga hak semua individu. Oleh itu, keputusan Mahkamah Persekutuan menzahirkan ketenangan dan refleksi yang sangat diperlukan dalam persekitaran sukar yang berleluasa bagi individu LGBTIQ, diskriminasi yang meruncing dan membahayakan lagi keselamatan, kesejahteraan dan akses mereka terhadap kehidupan.

Leave a Reply