Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Semasa MCO, golongan LGBT berdepan dengan keganasan oleh keluarga

Ditulis oleh Fatima Qureshi
Diterjemah oleh Atiqah Azahari & Rawaidah Azahari

Read in English here.

Kita sedang menghadapi krisis kesihatan global yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Bagi komuniti LGBT di Malaysia, terdapat kebimbangan daripada mereka yang menghadapi tekanan jiwa di saat getir sebegini kerana tidak mempunyai jalan keluar. 

Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan kumpulan LGBT lebih terdedah kepada keganasan dan sifat agresif dari ahli keluarga dan orang yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka. Selain dari penderaan fizikal, emosi dan seksual, terdapat bentuk penderaan lain seperti masalah kewangan dan kekurangan sokongan emosi, telah dipaksa untuk menjalani terapi dan kahwin secara paksaan.

Ketika dunia sedang memerangi pandemik, kekurangan penekanan terhadap kesamarataan gender dan seksualiti telah meminggirkan kita, seperti yang dapat kita lihat berlaku di seluruh ASEAN. Di negara kita, sikap anti-LGBT semakin teruk dan kesannya semakin menjadi-jadi. Queer Lapis telah menemu-ramah beberapa rakyat Malaysia untuk mendalami realiti menjadi mangsa yang terselamat dari keganasan persekitaran toksik dalam keterasingan.

Saya perlu mendengar cacian daripada ayah saya setiap hari

“Saya dilayan seperti sampah di rumah,” Mohammad, seorang pembantu penyelidik dari Pulau Pinang telah dipaksa untuk kembali pulang ke pangkuan keluarga selepas hilang pekerjaan. COVID-19 telah mengancam sektor ekonomi dan menimbulkan kegelisahan yang besar terhadap jaminan pekerjaan di seluruh negara tetapi bagi komuniti LGBT yang masih didiskriminasi, keadaan mereka menjadi jauh lebih teruk. 

“Seluruh hidup saya hancur dan tiada siapa yang dapat melindungi kita daripada ibu bapa yang bersikap homofobik dan mengambil kesempatan terhadap tempoh pengasingan ini untuk menyakiti kita,” jelas Mohammad kesedihan. Dia masih belum memberitahu keadaan sebenar kepada keluarganya, tetapi mereka berasa sangsi terhadap status seksualitinya dan kerap memerhati teks mesej dan log panggilan telefonnya. 

Mohammad berkongsi kejadian baru-baru ini di mana ayahnya mula berkhutbah kepada seisi keluarga dengan berkata punca pandemik ini berlaku adalah disebabkan oleh “golongan LGBT”. Dia mendakwa bahawa Tuhan memberi peluang dalam bencana ini kepada golongan LGBT untuk kembali menjadi ‘normal’.

“Dia menyalahkan saya kerana menjadi punca kematian yang berlaku tanpa menerangkan bagaimana dan kenapa ianya berlaku…”

Pandangan ayah Mohammad malangnya, telah menjadi kebiasaan. Satu status tular di media sosial baru-baru ini dengan lebih daripada 30,000 perkongsian mendakwa bahawa COVID-19 adalah hukuman daripada Tuhan kerana golongan LGBT dan tindakan ‘tidak bermoral’ mereka di seluruh dunia. 

“Ayah menyalahkan saya kerana menjadi punca kematian yang berlaku tanpa menerangkan bagaimana dan kenapa ianya berlaku melainkan apa yang diberitahu Imam di dalam masjid. Bagaimana seseorang itu boleh bertahan dengan seksaan sebegini setiap hari?” kata Mohammad. Ketabahan menghadapi waktu sukar ini dalam keluarga yang alim telah menjejaskan kesihatan mentalnya. Dia berkongsi kisahnya yang dipaksa oleh kedua ibu bapa untuk menunaikan solat dan membaca Al-Quran di hadapan mereka sendiri. 

Mohammad percaya bahawa kata-kata kesat yang dilontarkan oleh ibu bapa dan adik-beradiknya tidak akan berakhir, dan dia selalu dihina walaupun ketika berdiam diri. “Saya selalu mempersoalkan sama ada bolehkah saya terus hidup sehingga Perintah Kawalan Pergerakan ini berakhir kerana mengharungi tempoh ini adalah suatu perkara yang amat menyakitkan buat saya”.

Kahwin Paksa Disebalik Pintu

Dalam kes lain, *Noor, seorang lesbian dan pelajar tahun akhir jurusan Sosiologi di Kuala Lumpur memberitahu kami bagaimana ibu bapanya juga mengeksploitasi kepulangannya ke rumah. Dia terkejut apabila mengetahui bahawa dia sebenarnya telah dirisik tanpa pengetahuannya.

“Saya dipaksa untuk melihat gambar beberapa orang lelaki berserta profil mereka sejak kebelakangan ini, dan saya tidak pernah ditanya oleh mereka sama ada saya mahu berkahwin ataupun tidak,” kata Noor. Minggu lepas, seorang calon lelaki untuk dijadikan suami telah datang bersama ibunya mengunjungi keluarga Noor. Noor enggan untuk berjumpa dengan mereka dan duduk bersendirian di dalam bilik, tetapi ibu bapanya bukan sahaja telah memaki hamun, malah menyeretnya keluar dari biliknya dengan agresif. 

“Saya masih ada kesan lebam di tangan kiri disebabkan oleh cengkaman ibu sendiri. Apabila saya mengadu kesakitan, ibu saya mencengkam dengan lebih kuat tanpa mempedulikan rayuan saya,” jelas Noor. Apabila terperangkap di rumah, Noor tidak boleh menghubungi pasangan rahsianya. Noor menjelaskan bahawa mereka berdua hidup dalam ketakutan berpunca dari  reaksi ibu bapa dan keluarga mereka yang menganggap bahawa segala perkara yang berkaitan dengan LGBT adalah “dosa besar”.

“Tiada siapa yang mempedulikan saya dalam negara ini kerana saya seolah-olah halimunan dan sekarang, keluarga saya sendiri memperlekehkan saya sehingga saya perit untuk meneruskan hidup.”

Kadar keganasan rumah tangga telah meningkat di kebanyakan negara termasuklah Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa. Pihak NGO telah menerima pertambahan jumlah pesanan kecemasan melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon. Mujurlah, perkhidmatan ini disediakan untuk semua golongan tanpa melakukan diskriminasi terhadap golongan homoseksual.

Keganasan terhadap golongan LGBT juga semakin meningkat. Noor memberitahu bahawa isu keganasan terhadap wanita homoseksual tidak dapat dibayangkan kerana kebanyakan daripada mereka takut dianiaya sekiranya mereka berterus-terang tentang status seksualiti mereka. “Tiada siapa yang mempedulikan saya dalam negara ini kerana saya seolah-olah halimunan dan sekarang, keluarga saya sendiri memperlekehkan saya sehingga saya perit untuk meneruskan hidup.”

Ketakutan terhadap pihak berkuasa masih berleluasa. Queer Lapis telah menerima dua laporan bahawa pihak polis telah memeriksa profil golongan LGBT sewaktu sekatan jalan raya dan memeriksa telefon bimbit mereka dengan membuka mesej di aplikasi media sosial Grindr dan melihat foto-foto intim mereka. Ini menunjukkan bahawa betapa mudahnya golongan LGBT dan kumpulan lain dianiaya semasa tempoh krisis.

Komuniti dan penjagaan diri sangat penting untuk kelangsungan hidup

Walaupun pandemik ini cukup memberi tekanan, cabaran sebagai seorang homoseksual adalah lebih sukar ketika berada dalam tempoh genting ini disamping wujudnya peningkatan risiko untuk mengalami masalah kesihatan mental. 

Mengikut Gia Kon, seorang kaunselor dari Soul Mechanics, kesan daripada penderaan mental tidak boleh dipandang enteng. Keinginan untuk membunuh diri adalah satu masalah  yang perlu dipandang serius dalam kalangan mereka yang merasakan bahawa mereka kurang mendapat bantuan dan bersendirian. 

Selain menjadi mangsa keganasan rumah tangga, kurangnya hubungan fizikal serta terlalu banyak berfikir boleh menyebabkan kita semua mempunyai perasaan sedih dan gelisah yang sangat mendalam sehingga boleh menyebabkan masalah kesihatan fizikal seperti pening kepala dan menghadapi kesukaran untuk bernafas. 

Dalam tempoh krisis ini, sebahagian anggota keluarga dan pihak berkuasa adalah kumpulan yang turut mengancam kita, maka kita perlulah bergantung kepada diri sendiri dan saling tolong- menolong antara satu sama lain. 

Sekiranya anda inginkan pertolongan, khabarkan dengan segera. Terdapat kumpulan dan organisasi di luar sana yang bersedia untuk memberi sokongan sama ada dalam bentuk kewangan, mendengar masalah atau memberi khidmat nasihat untuk menyelamatkan anda dari situasi yang berbahaya. 

Kami telah menyenaraikan kenalan dan perkhidmatan di bawah untuk membantu anda menempuhi saat-saat getir pandemik ini. Semoga harapan anda tidak terkubur. Komuniti kami sedia berada di barisan hadapan dan kita  pasti boleh memeranginya bersama-sama.

*Nama di atas telah diubah suai demi keselamatan responden kami.


Organisasi komuniti LGBT
  • People Like Us, Hang Out [Facebook]
  • KL Women Discussion Group [Twitter]
  • PLUSOS [Website]
  • Oogachaga, Pusat kaunseling bespusat di Singapura yang berfokus pada LGBTQ sedang memberikan perkhidmatan percuma kepada rakyat Malaysia.
    • Email counselling: CARE@oogachaga.com
      Whatsapp counselling: (+65) 8592 0609
      (text-only, no calls)
      [Sat: 2pm -5pm; Tue, Wed & Thu: 7pm–10pm]
  • Kita! Email hello@queerlapis.com untuk sebarang pertanyaan.
Pertolongan profesional
Sumber pertolongan diri

Leave a Reply