Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Klinik Ini Sedia Menghantar PrEP dan Ubat HIV ke Seluruh Negara

RYAN ONG | 14 Disember 2020

“Mereka begitu panik kerana tidak boleh keluar ke mana-mana, jadi mereka hubungi saya sekitar jam 2 pagi, bertanyakan sekiranya PEP boleh dihantar kepada mereka”. Pengarah MUC Healthcare dan seksologis, Dr Rachael Winston (lebih selesa digelar Ray,) merujuk kepada satu kejadian terkini yang mana kondom kepunyaan salah seorang pesakitnya terkoyak ketika melakukan hubungan seks. 

Kepada mereka yang percaya bahawa dia terdedah kepada risiko jangkitan HIV, PEP adalah ubat yang mampu membawa perubahan kepada diri mereka. PEP, atau post-exposure prophylaxis, boleh mencegah virus HIV daripada merebak jauh ke dalam tubuh, tetapi ia perlu diambil dalam jangka masa 72 jam selepas tubuh seseorang terdedah kepada jangkitan. Setiap minit tidak ternilai harganya. Pesakit itu bernasib baik, kerana Dr Rachael berjaya melakukan penghantaran PEP pada awal pagi dan tiba pada hari yang sama. 

Pengurusan krisis yang kritikal terhadap ubat-ubatan HIV adalah salah satu langkah keberjayaan sebuah klinik milik komuniti LGBTQ, MUC Healthcare. 

Mengapakah penghantaran ubat-ubatan HIV begitu penting sekali?

Komuniti LGBTQ berhadapan dengan pelbagai halangan untuk melakukan ujian saringan HIV dan mendapatkan rawatan sewajarnya. Halangan demikian termasuklah gubalan undang-undang yang menjadikan komuniti LGBTQ adalah penjenayah, sifat atau jenayah homofobia dan transfobia yang semakin meningkat serta stigma atau prejudis terhadap golongan yang hidup dengan HIV (PLHIV) — yang paling mengejutkan — juga berlaku di kalangan pengamal perubatan

Terdapat satu kes yang mana seorang PLHIV menangguhkan lawatan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana dia begitu takut sekiranya pengamal perubatan akan melaporkannya kepada pihak polis kerana melakukan hubungan seksual sesama jenis dengan lelaki. Natijahnya, penyebaran virus HIV di kalangan lelaki homoseksual dan transgender wanita adalah lebih tinggi berbanding demografi lain. 

Kakitangan MUC healthcare bersama-sama pertubuhan NGO KLASS berkempen untuk meningkatkan kesedaran berkenaan HIV di sekitar Bukit Bintang bersempena Hari Aids Sedunia. Dr Rachael Winston, di sebelah kanan sekali.

Lebih memburukkan keadaan, pandemik COVID-19 telah menambah jurang di kalangan komuniti yang memerlukan perkhidmatan berkaitan kesihatan seksual. 

Kami telah menerima laporan daripada pertubuhan NGO JEJAKA, bahawa sesetengah PLHIV menjauhkan diri mereka daripada mendapatkan preskripsi ubat-ubatan di klinik kerana mereka khuatir dengan gangguan daripada pihak polis ketika sekatan jalan raya. Sesetengah PLHIV yang tersekat di kampung halaman masing-masing, jauh daripada klinik kebiasaan mereka di KL, tidak berpeluang untuk mendapatkan akses kesihatan yang selamat. 

Dr Rachael berpendapat bahawa isu ini “begitu kritikal kerana penyakit berkaitan kesihatan seksual tidak hanya tertumpu kepada mereka yang berada di sekitar Kuala Lumpur sahaja, tetapi di kawasan pedalaman. Setiap orang berhak untuk mendapat rawatan kesihatan dan akses perubatan serta konsultasi dengan cara yang betul.”

Justeru, ketika sistem dan institusi tidak begitu endah akan komuniti LGBTQ, maka tergalas di bahu klinik seperti MUC Healthcare dan komuniti kita sendiri untuk saling membantu dan melengkapi. 

Apakah ubat-ubatan HIV yang boleh dihantar oleh MUC Healthcare?

MUC Healthcare menawarkan senarai lengkap ubat-ubatan Antiretroviral iaitu PrEP (Pre-exposure prophylaxis), PEP (post-exposure prophylaxis), dan ART (Antiretroviral therapy). PrEP dan PEP membantu mencegah penularan virus HIV manakala ART adalah untuk merawat mereka yang telah dijangkiti virus, iaitu PLHIV.

  • PrEP adalah pil yang diambil sekali setiap hari ataupun ketika memerlukan dan berupaya untuk mengurangkan lebih 90 peratus risiko untuk dijangkiti HIV.
  • PEP adalah ubat yang diambil selama sebulan, dalam situasi kecemasan untuk mencegah jangkitan virus HIV (perlu diambil dalam 72 jam selepas terdedah kepada jangkitan). 
  • ART adalah ubat yang diambil oleh PLHIV untuk menguruskan jangkitan HIV dan mengurangkan jumlah virus HIV dalam darah. Sebilangan besar PLHIV yang patuh pengambilan ART mempunyai beban virus (viral load) yang cukup rendah sehingga HIV tidak dapat dikesan dalam darah. Apabila ini berlaku, mereka tidak lagi dapat menyebarkan HIV melalui hubungan seks. Konsep ini dipanggil “U = U” atau tidak boleh dikesan = tidak boleh disebarkan (undetectable = untransmittable).
Adakah perkhidmatan ini sesuai ketika waktu-waktu kecemasan?

Ya. MUC Healthcare berupaya untuk menghantar PEP pada hari yang sama. 

Akan tetapi, sekiranya anda berisiko tinggi untuk dijangkiti virus HIV (mempunyai kekerapan hubungan seks yang tinggi, mempunyai ramai pasangan dalam hubungan seks, terlibat dalam hubungan seks yang dipengaruhi oleh dadah atau pekerja seks), anda tidak harus bergantung sepenuhnya kepada PEP. 

Adalah lebih baik sekiranya anda mendapatkan PrEP, kerana apabila berlaku situasi seperti kondom yang terkoyak, risiko untuk mendapat jangkitan virus HIV adalah kecil dan menghampiri nilai 0 peratus. Segala keresahan dan kegelisahan minda tidak akan berlaku sekiranya anda patuh kepada arahan pengambilan ubat-ubatan. 

Bagaimana untuk mendaftar?

Hubungi MUC Healthcare dan ubat-ubatan anda akan dihantar daripada klinik pada hari yang sama, jika anda membuat panggilan awal. Tidak ada tambahan caj kepada ubat-ubatan anda kecuali kos penghantaran. 

MUC Healthcare Facebook

Harga bekalan PrEP daripada MUC healthcare adalah sekitar RM 100, harga mampu milik. Akan tetapi, pengamal perubatan di MUC Healthcare juga sedar bahawa masih ramai lagi komuniti LGBTQ yang tidak mampu menampung kos sedemikian. 

Apa yang membezakan MUC Healthcare adalah gerak kerja mereka yang meliputi pelbagai organisasi dalam komuniti untuk meningkatkan kesedaran tentang PrEP serta membantu mereka yang berdepan dengan masalah kewangan. Antara kerjasama yang paling membanggakan adalah gandingan MUC Healthcare dengan salah satu organisasi saya, PLUHO (People Like Us Hang Out!).

Organisasi kami begitu serius dalam menyediakan perkhidmatan kepada komuniti LGBTQ meliputi pelbagai aspek seperti sokongan kesihatan mental, perlindungan serta kesihatan seksual. Kami menyediakanPrivilege Cardkepada semua ahli, supaya dapat menikmati potongan harga PrEP di MUC Healthcare. Hanya sertai kami di Facebook Group untuk mendapatkannya!

 

MUC Healthcare Facebook

Adakah setiap orang layak untuk mengambil PrEP?

Dalam kebanyakan kes, ya, terutamanya jika anda berusia 50 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sejarah masalah buah pinggang atau hati.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, setiap pesakit perlu menjalani pemeriksaan fungsi buah pinggang dan hati, serta perlu menjalani pemeriksaan berkala daripada klinik atau pusat rawatan berdekatan.

Walaupun PrEP adalah selamat untuk diambil, ia bakal memberi kesan kepada buah pinggang dan hati kerana pengambilannya setiap hari. MUC Healthcare mencadangkan agar anda melakukan ujian pemeriksaan di pusat pemeriksaan yang bertauliah sekiranya anda tidak mengamalkan pemeriksaan berkala.

Berhubung dengan MUC Healthcare

Klinik utama MUC bertempat di Bukit Bintang, manakala cawangannya boleh dilawati di Kajang dan Negeri Sembilan. 

MUC Healthcare, 88A, Jalan Alor 50200 Kuala Lumpur (Next to MRT Bukit Bintang)
No Telefon: 03-2142 5814
E-mel: contact@mucclinics.com

Klinik MUC menawarkan pemeriksaan komprehensif, rawatan serta khidmat kaunseling berkenaan dengan kesihatan seksual. Untuk meningkatkan layanan yang lebih mesra pelanggan, mereka juga menawarkan perkhidmatan lawatan ke rumah pelanggan serta sedang menjalankan proses konsultasi dan preskripsi dalam talian (melalui aplikasi Zoom).

Protokol yang ditunjangi klinik MUC bertindak untuk melindungi kerahsiaan pesakit LGBTQ ketika mereka melawat ke klinik. Hanya nyatakan ‘Code Green’, dan segalanya akan dikendalikan dengan lancar.

UMMC juga telah menyediakan laman sesawang untuk membantu anda mencari pembekal PrEP yang berdekatan dengan lokasi anda di sini

~~~~~~~

Artikel ini bukanlah satu nasihat perubatan profesional dan hanya berfungsi sebagai penyedia maklumat untuk membantu anda melakukan keputusan berkenaan kesihatan seksual anda. Dapatkan khidmat profesional perubatan sekiranya terdapat sebarang keraguan. 

Ditulis oleh Ryan Ong, editor bersekutu Queer Lapis, dan juga pengasas bersama serta penganjur program komuniti dalam organisasi PLUHO, People Like Us Hang Out!

Diterjemah oleh Fahmi Mustaffa. 

Disunting oleh Salami.

Pautan ke artikel asal dalam Bahasa Inggeris di sini.