Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Tangan Terbuka Kepada Remaja LGBT

Oleh AIMAN AZAHARI.

pass it on love of my life GIF by Barbara Pozzi

Salam,

Ini adalah catatan terbuka untuk semua adik-adik diluar sana, tanpa mengira jantina, indentiti gender, warna kulit atau agama.

Adik,

Sebulan dua ini, ruang medsos sarat dengan kebencian yang teramat terhadap manusia-manusia LGBTIQ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Intersex & Queer), sehinggakan saya sendiri jelak dan lelah dengan semua komen-komen dan catatan itu. Keadaan jadi lebih buruk dengan laporan media yang bertindak mencurah minyak ke atas api yang marak, sehingga mengakibatkan jenayah benci melibatkan beberapa lelaki muda dan seorang transnita di Seremban, alasan mereka – “Saja nak pukul.”

Terkesan dari komen-komen benci, laporan berita itu dan catatan seorang kawan, Pang Khee Teik, kepada politikus-politikus Malaysia yang menyoal keberatan mereka untuk bersuara bagi golongan LGBTIQ; saya tergerak hati untuk menghulurkan tangan kepada adik-adik diluar sana yang takut bersuara, atau tertekan, atau dibuli, dicaci, dimaki, dipermainkan atau berasa tidak selamat hanya kerana adik merasakan yang diri adik itu lain dari kawan-kawan sebaya, untuk menghantar mesej peribadi kepada saya melalui facebook.

Saya tidak mampu untuk memberikan bantuan kewangan atau penyelesaian; tidak ada juga niat untuk cuba merawat peribadi atau mengambil kesempatan. Apa yang mampu saya janjikan adalah untuk mendengar keluh kesah dan kerisauan adik, supaya tidak lagi tidak rasa sendiri, sepi dan jauh dari orang lain.

Kadang-kadang, apa yang kita perlukan hanyalah sepasang telinga untuk mendengar luahan hati. Biarkan mereka manusia suci yang tak tersentuh dosa dengan kebencian mereka. Kalau adik merasakan yang adik manusia berdosa, ketahuilah yang saya sendiri manusia yang jauh lebih berdosa, tapi saya tidak akan biarkan itu menjadi sebab kemanusiaan saya mati.

Kalau ikutkan rasa marah, mahukan saja saya melihat mereka-mereka yang suci tak tersentuh dosa itu didatangkan kehancuran dan kecelakaan, TAPI saya dididik untuk tidak jadi manusia yang keji dan bangsat. Harapan saya semoga pegangan yang mereka anuti itu satu hari nanti menerbitkan rasa ihsan untuk orang lain. Mungkin dengan ihsan itu, mereka tersedar kesilapan mereka yang hidup dalam ujub dan benci dan menjadi manusia yang lebih pemurah lagi mengasihani.

Jadi, biarkan mereka dengan cara mereka. Yang paling penting, adik-adik semua tahu ada manusia-manusia lain yang masih kasihkan adik dan adik-adik semua selamat. Bukan semuanya kami manusia pembenci, masih ada yang punyai belas ihsan, dan ruang kasih sayang dalam hati.

Kalau adik rasa murung kerana tiada tempat untuk adik berpaling dan mengadu, atau sedang menimbang tara hendak mengambil nyawa sendiri, atau keliru dengan perasaan yang datang, atau keliru dengan identiti diri, hantarkan saja mesej peribadi kepada saya di Facebook atau melalui Instagram (@aymanpsycho). Jika saya tak mampu membantu, akan saya salurkan mesej adik kepada mereka yang lebih pakar, mungkin mereka dapat membantu dengan lebih baik.

Kepada kawan-kawan dan saudara mara saya yang lain, tidak kiralah jika kau seorang heteroseksual atau tidak. Ini pesanan saya: Generasi muda memerhatikan perlakuan dan percakapan kita dan ia memberi kesan besar terhadap jiwa dan psikologi mereka. Hanya kerana kita merasakan kita normal, itu tidak memberi kebenaran untuk kita menidakkan hak mereka yang lain untuk hidup dalam suasana yang aman, tenang dan selamat.

Sedarkah kalian yang tindakan menghambur kata-kata penuh sinis dan benci itu telah mengakibatkan ada antara mereka yang cedera, dan ada juga telah yang kehilangan nyawa? Sedarlah bahawa darah mereka itu terpalit di tangan kita. Kau lewa kerana itu bukan anakmu, jadi tidak ada rasa bersalah, tidak ada rasa kesal? Apa kau sangka zuriat dan anak-anakmu tak terkesan?

Agama yang kau pegang itu adalah untuk kesejahteraan kau sendiri, bukannya hak untuk kau menindas orang lain, bukannya kebenaran untuk kau menuntut darah, dan semestinya bukan lesen untuk kau ke syurga, sebab itu bukan ketentuan dan urusanmu. Urusanmu adalah untuk menjadi hamba Tuhan yang sebaik mungkin, yang penuh dengan belas ihsan, kasih sayang dan kemanusiaan. Kalau fahaman agamamu menjadikan kau manusia yang zalim, bongkak dan penuh kebencian, semak kembali siapa sebenarnya yang kau sembah.

Agama mana yang menidakkan kemanusiaan. Itu bukan agama, itu fasisme.

Aku bersuara hari ini kerana aku kenangkan kata-kata Pastor Martin Niemöller:

Pada mulanya mereka datang untuk si komunis, dan aku tidak bersuara – kerana aku bukan komunis.
Kemudian mereka datang untuk ahli kesatuan, dan aku tidak bersuara – kerana aku bukan ahli kesatuan.
Kemudian mereka datang untuk orang-orang yahudi, dan aku tidak bersuara – kerana aku bukan orang yahudi.
Kemudian mereka datang untuk aku – dan tiada siapa lagi yang tinggal untuk bersuara bagiku.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Aiman Azahari suka mengelamun sambil bergolek-golek. Dibesarkan oleh wanita-wanita perkasa yang cerdik dan berani. Dia juga dikelilingi 4 orang adik-adik perempuan yang sangat lantang dan kritikal.

Pass It On Love Of My Life gif oleh Barbara Pozzi

Penjagaan diri: Ketahanan dan penyembuhan

Me as a young gay Christian looking for the straight path

Leave a Reply