Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Bila Komuniti LGBT Tampil Sebagai Rakyat Malaysia

Oleh PANG KHEE TEIK. Diterjemahkan oleh AIMAN AZAHARI.

Bangga rasa hati bila saya dengar di Pulau Pinang, tujuh orang transnita menjadi ejen tempat mengundi untuk seorang calon PSM. Walaupun tiada siapa yang mahukan kita di pihak mereka, namun ramai di kalangan komuniti LGBT yang tetap terlibat dalam PRU14. Di seluruh pelosok negara, kita tampil sebagai rakyat Malaysia, keluar membantu dan mengundi. Ada yang menjadi ejen tempat mengundi, ada yang merekrut sukarelawan, ada yang berkempen untuk calon, ada yang mendermakan tiket kapal terbang, ada yang memandu pengundi ke pusat mengundi, ada juga yang membelikan makan minum untuk mereka yang bertugas, dan ramai, ramai lagi yang keluar untuk mengundi. Saya ingin mengambil peluang untuk berikan penghargaan pada semua ahli komuniti LGBT Malaysia yang menghulurkan tangan, mengeluarkan kudrat dan mengundi demi perjuangan demokrasi di Malaysia, walaupun kita terus diingatkan bahawa negara ini masih belum bersedia untuk kita. Tak apalah, kita sememangnya sudah lama bersedia ada untuk tanah air ini.

Ya, menjelang ke pilihan raya yang lepas, kita diberitahu, “Hak untuk komuniti LGBT tidak penting buat masa sekarang.” Kita diunjurkan, “Malaysia TIDAK AKAN mengiktiraf LGBT, ianya kan haram, kenapa sahaja tidak berpindah ke negara lain?” Kita dimomokkan dengan, “Jangan disebut tentang LGBT. Itu akan mengundang reaksi buruk untuk pihak pembangkang.”

Maka, tukarkan dulu kerajaannya, jangan pertaruhkan peluang pembangkang, kernanya si pembenci akan gunakan isunya pada pembangkang. Eh, si pembenci akan gunakan apa saja yang dapat mereka capai untuk dilontarkan pada Pakatan Harapanlah. Pakatan Harapan memang tujuan lontaran lumpur itu; dan LGBT adalah lumpurnya.

Tapi, lumpur juga mampu hebat, kan? Nama ibu kota kita pun Kuala Lumpur. Kita telah menjadi sebahagian dari tanah air ini lama sebelum ia mendapat nama. Kami, adalah Bumiratu mu. Semenjak dulu lagi, waktu di mana lebih payah untuk seseorang mengaku jati dirinya sehinggalah kini, komuniti LGBT dan si pencinta yang pelbagai dalam diam turut sama membina batu asas tanah air ini. Hari ini kita masih teruskan usaha itu. Ia melangkaui pilihan raya semata. Kecewa dan luluh dengan sistem yang kurang adil kita turut bangkit bersama Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menuntut hak buruh, hak wanita, hak pelarian, hak kanak-kanak. Komuniti LGBT Malaysia terus berjuang untuk anakmu, ibumu, masyarakatmu, walaupun rasa takut kehilangan keluarga dan masyarakat sendiri terus membelenggu kami.

Saya masih ingat ketika saya berarak dalam Reformasi pertama, disamping pengerusi sebuah badan hak asasi manusia yang juga seorang lelaki gay. Saya juga kenal akan seorang lelaki gay yang ditahan semasa Operasi Lalang dek kerana kerja-kerjanya dalam kesatuan buruh. Saya juga kenal seorang wanita lesbian yang bertugas dalam satu organisasi yang membantu wanita-wanita mangsa rogol dan penderaan. Komuniti trans dari SEED Foundation yang menubuhkan tempat pelindungan untuk fakir miskin di Chow Kit untuk berehat. Besarnya cinta dan belas ihsan dibawah naungan pelangi untuk mereka yang fakir dan gelandangan. Ada di kalangan kita yang menjadi orang seni, wartawan, penghibur dan menceritakan kisah ketidakadilan yang dihadapi oleh komuniti Orang Asal, mereka yang kurang upaya, mereka yang dihalau keluar dari tanah sendiri, mereka yang dibuli oleh syarikat-syarikat gergasi, mereka yang mati dalam tahanan. Dalam masa kita akur akan sistem yang menidakkan suara kita sendiri, kita menjadi suara untuk mereka yang lain.

Tetapi, komuniti LGBT di Malaysia dilayan seperti kondom pilihan raya, digunakan ahli politik untuk menakung setiap titisan undi dan melindungi diri mereka dari kekalahan. Kemudiannya dicampak ke tepi dan dicacikan pula. Eee… kondom! Kotor! Kita tahu bagaimana rakyat Malaysia dihasut untuk tidak memilih calon yang tertentu kerana sokongannya pada LGBT. Hanya segelintir calon dan PSM yang secara terang-terangan berdiri disamping kita. Namun yang lain, biasanya akan taburkan janji yang mereka akan menyekat penyebaran LGBT. Barisan kerajaan yang sebelum ini telah membelanjakan jumlah yang besar untuk cuba “memulihkan” kita. Dalam amanat pilihan rayanya yang terakhir, Mahathir dengan hebatnya menyentuh perihal kesamarataan jantina dan hak asasi manusia, namun tetap juga menyebut: Segala tuntutan nafsu yang keterlaluan tidak dibenarkan. Kalau anda masih ingat akan Kes Liwat 1, anda pasti tahu apa keterlaluan Mahathir. Mungkin, kita patut bersangka “nafsu yang keterlaluan” yang dimaksudkannya adalah ketamakan, korupsi, dan penyalahgunaan kuasa.

Ya, ada di antara mereka yang berdiri dengan kita, dan kita sayangkan mereka. Tapi selalunya, yang kita dengar dari mereka yang lain adalah “Ini Malaysia lah. Bersyukur yang kamu masih diterima. Kami tak ada masalah dengan orang LGBT. Apa yang kamu buat di belakang, hal kamu sendiri. Tapi hak untuk LGBT tidak akan dibenarkan. Jangan cabar kesabaran kami.”

Memang boleh kita terus diam dan buat hal sendiri di dalam kebersendirian. Tapi, berapa ramai antara kita yang hidup dalam privasi? Ide privasi dan kebersendirian boleh melindungi kita adalah satu ilusi yang jual oleh pemaju hartanah dan dibeli oleh mereka yang mampu untuk memiliki rumah sendiri, yang mampu untuk hidup berasingan dari keluarga, yang mampu untuk berpindah. Ianya bukan satu keistimewaan yang semuanya mampu miliki.

Privasi ditawarkan bagi mereka yang bekerja keras, yang punyai hubungan yang “bagus”, sebagai ganjaran untuk mereka memiliki ruang sendiri. Jika kita mampu untuk memiliki privasi, kita boleh melakukan apa sahaja kehendak diri. Dan ramai antara kita yang mungkin mampu, termasuklah mereka yang mendera dan menganiaya. Dalam ruang privasi mahupun ruang umum, ketidakseimbangan kuasa tetap wujud, dan mereka yang memegang kuasa dalam ruangan itu boleh melakukan apa sahaja.

Jadi, apa yang akan berlaku bila mana seorang LGBT dianiayai dalam ruang tertutup? Apa yang akan berlaku bila kita dipukul oleh pasangan atau ibubapa sendiri atau dihalau keluar rumah? Apa yang akan berlaku bila kita dibuli oleh rakan sekelas atau guru? Ke mana harus kita pergi? Ke pihak berkuasa? Berapa ramai saudara trans kita yang pernah melaporkan tentang gangguan, ugutan, dan pencabulan maruah oleh oleh anggota pihak berkuasa? Apa yang boleh kita lakukan bila mana kita diperah ugut? Ke mana harus kita pergi jika kita tidak boleh untuk menaruh kepercayaan pada pihak berkuasa dan polis?

Saya kenal akan seorang remaja lelaki dari Sabah yang dibuli oleh budak sekolahnya bila mereka mendapat tahu yang dia adalah gay. Dia dikepung oleh beberapa orang budak di dalam tandas sekolah dan dipaksa untuk melakukan seks oral. Bila dia menolak, dia dipukul beramai-ramai, sehinggakan kepalanya dihantuk ke mangkuk tandas. Dalam keadaan tidak berupaya dan berdarah, dia dibawa oleh teman-temannya ke pejabat pengetua untuk membuat laporan. Tapi yang keluar dari mulut pengetuanya adalah “Saya dengar kata orang yang kamu ini gay. Kalau betul, kami akan buang kamu dari sekolah ini.” Dua hari kemudian, dia dibuang sekolah. Apa yang orang LBGT mahukan adalah hak untuk melaporkan jenayah yang dilakukan pada kita tanpa rasa takut yang kita akan dipersalahkan pula oleh mereka yang menerima laporan dan secara tidak langsung, membawa lebih banyak ketidakadilan pada diri kita.

Bila kita dengar cerita-cerita sebegini, kita tidak tahu apa yang boleh lakukan selain dari memanjangkannya kepada masyarakat umum dan cuba untuk dibincangkan. Ketika itulah rakyat Malaysia akan katakan: Ini Malaysia lah, kau tak boleh pinta hak untuk menjadi gay. Hak untuk menjadi gay? Apa yang kami dambakan adalah hak untuk diperlakukan seperti manusia. Untuk bebas dari keganasan dan kemudaratan. Bila hak itu dicabul, kami berharap adanya ruang untuk menuntut keadilan. Sejak bila pula keadilan itu satu perihal yang gay?

Lalu, apa yang kebanyakan kami lakukan bila dihadapkan dengan ancaman ini? Turut saja yang kamu suruh kami buat: terus diam, sendiri, telan saja dan terus merana. Sudah menjadi keterbiasaan untuk kami tahan dengan jenaka-jenaka keluarga tentang LGBT, kemudian kami biasakan diri pula untuk tahan dengan pembulian di sekolah, dan kami teruskan keterbiasaan itu ketika beralih menghadapi diskriminasi di tempat kerja dan kehidupan seharian. Bila sesuatu yang buruk dan jelik berlaku dalam hidup kami, kami terus terima dalam diam. Kami dilatih sepanjang hayat untuk terima bahawa inilah realiti kami. Kerja keras, dapatkan duit secukupnya, miliki rumah sendiri, bersyukur yang kami masih ditoleransikan, dan terus wujud dalam kebersendirian. Sebagai balasannya, kami hilang suara kami, seperti legenda si anak duyung.

Setelah kehilangan suara sendiri, bagaimana hendak kami ceritakan bila kecelakaan menimpa kami? Ternyata, tindakan berdiam diri ini tidak berupaya untuk mengubah masyarakat supaya menerima kami. Terus berdiam diri hanya menghasilkan lebih banyak jenayah dan kemudaratan diperlakukan ke atas komuniti LGBT. Mereka berani untuk membuat aniaya kerana mereka tahu tidak ada siapa akan mendengar dan membela nasib kami.

Dalam sebuah rumah di mana kezaliman dan penderaan diperlakukan pada seorang ahli keluarganya, mereka yang menyuruhnya untuk berdiam diri juga turut bersalah mendera si mangsa.

Dalam sebuah rumah di mana kezaliman dan penderaan diperlakukan pada seorang ahli keluarganya, kita paksa si mangsa untuk terima realiti ini kerana kita yang lain sukakan realiti ini; kerana dalam realiti ini, kita orang beruntung yang terima hak istimewa. Jadi, boleh tak si mangsa yang bernasib buruk terima saja bahananya, supaya kita yang bernasib baik boleh terus dengan hak istimewa kami?

Dalam sebuah rumah di mana kezaliman dan penderaan diperlakukan pada seorang ahli keluarganya, memaksa si mangsa untuk terus diam adalah sebab kenapa penderaan itu terus berlaku, memaksa si mangsa untuk terus berdiam itu sendiri adalah satu penzaliman.

Dalam sebuah rumah di mana kezaliman dan penderaan terus diperlakukan pada seorang ahli keluarganya, kitalah sebenarnya si pendera, yang zalim itu kita.

Makanya, iya, sudah ada perubahan di Malaysia. Tapi, kami masih disuruh untuk tunggu, belum masanya lagi. Okay, jadi bila masanya itu?

Kami sudah tampil keluar sebagai rakyat untuk Malaysia. Tapi bila masanya Malaysia akan terima kami seadanya? Komuniti LGBT Malaysia sudah lelah bersuara untuk komuniti lain dan diri kami sendiri. Bila masanya Malaysia akan bersuara untuk kami? Bila masanya Malaysia akan tampil untuk kami?

~ ~ ~ ~ ~ ~

Pang Khee Teik adalah pengasas bersama Seksualiti Merdeka dan Editor untuk Queer Lapis.

Aiman Azahari bekerja sebagai penerbit pentas bebas disekitar Kuala Lumpur dan Kuantan. Bapa tunggal kepada 3 ekor anjing dan 2 ekor kucing ini suka menebas rumput dan bercangkul.

When LGBT People Came Out As Malaysians

Political Suicide vs LGBT Suicide

 

Leave a Reply