Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Aku, Komuniti LGBTQ dan Supergirl

Oleh Sang Perintang | 11 November 2020

Sakit itu menguatkan kita. Sakit itu mengingatkan kita bahawa setiap hari, ada ramai lagi yang menderita. Ada yang kelaparan, ada yang ditindas, bahkan ada yang dilayan sebagai satu wabak berjalan!

Sebelum ini, diskriminasi yang aku kenal hanya pada dada-dada akhbar dan di kaca televisyen sahaja. Dibesarkan sebagai seorang Melayu, aku kerap dihidangkan dengan keistimewaan Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun pada sekitar 2019, aku dijemput oleh sebuah NGO untuk membantu rakan-rakan LGBTQ yang didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk membantu memberi sokongan daripada segi kewangan, khidmat guaman dan yang amat penting, bantuan kesihatan mental.

Banyak yang aku belajar tentang kesakitan dan penindasan terhadap komuniti aku sendiri. Sudah lebih kurang setahun aku bergiat dalam norma baharu, dan aku sentiasa diingatkan, kadangkala setiap nafas dan keputusan yang aku ambil tidak lagi untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk membantu insan yang ditindas. Penunggang agama selalu menekankan bahawa komuniti LGBTQ ini komuniti yang dilaknat Tuhan dan harus diperbaiki, datang pula dengan seruan “bertaubatlah!” atau “kembalilah ke pangkal jalan”. Amat meloyakan.

Supergirl Si Adiwiraku

Aku seorang penggemar siri televisyen Supergirl, sebuah rancangan adaptasi komik, DC Comics Inc. yang diambil oleh rangkaian televisyen popular The CW dan CBS. Memang dari kecil aku suka mendapatkan inspirasi daripada golongan minoriti dan golongan tertindas termasuk wanita. Ramai orang kata lelaki homoseksual memang suka melihat heroin. Mungkin kita boleh kaji berkenaan mitos tersebut.

Walaubagaimanapun, Supergirl banyak mengajar aku tentang nilai-nilai yang mungkin pada mata awam agak klise, tetapi aku gemar dan boleh kaitkannya. Aku sangat menghargai pembawaan watak Supergirl oleh Melissa Benoist. Cukup memuaskan bagi aku. Supergirl atau Kara Zor-El atau Kara Danvers adalah seorang Kryptonian dan sepupu kepada Kal-El yang lebih dikenali sebagai Superman. Jadi tidak hairan lah kalau Supergirl mempunyai kekuatan untuk mengangkat bangunan ke angkasa.

Namun, dalam beberapa episod, Supergirl banyak berdepan dengan musuh-musuh yang beliau tidak boleh tangani dengan hanya beradu kekuatan sahaja seperti menangani Ben Lockwood seorang ketua gerakan anti-makhluk asing dalam siri tersebut. Berhadapan dilema dimana Supergirl harus mencari titik temu untuk membuat manusia dan makhluk asing hidup dalam suasana harmoni, kadang-kala membuat aku menangis kerana aku faham akan penderitaan disisih masyarakat.

Membuat aku terfikir tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan laser beam atau ice breath. Ia kerana tiada manusia yang jahat mutlak, dan ketidakadilan sering berlaku kerana ketakutan mereka sendiri akan individu-individu yang berganjak dari norma kebiasaan masyarakat.

Fakta menarik, dalam siri Supergirl juga ada seorang adiwira transgender, Nia Nal atau digelar sebagai Dreamer yang dilakonkan oleh Nicole Maines seorang pelakon transgender. Ya, aku membuat promosi percuma untuk The CW. Selain berlakon, Nicole Maines juga seorang aktivis transgender dan merupakan seorang plaintif yang menggunakan nama samaran Susan Doe dalam kes Doe v Regional School Unit 26 untuk meminta hak penggunaan tandas wanita bagi golongan transgender. Menarik bukan?

Jadi, kenapa aku sering kembali kepada rujukan siri televisyen ini? Aku banyak belajar sedikit sebanyak tentang menjadi seorang superhero. Baru-baru ini aku persetankan bisikan hati aku sendiri yang mengkritik diri, “you cannot save everyone” atau “sudahlah dengan Superman-complex kau”.

Jatuh Bangunku Demi Komunitiku

Walaupun hanya lebih kurang setahun bergiat dalam rintangan melawan diskriminasi terhadap LGBTQ, aku rasa aku berhak memberi penghargaan kepada diri sendiri dan kerja-kerja sukarelawan yang aku lakukan. Sebab bukan senang melihat kekejaman dunia dan pada masa yang sama menghidapi Major Depressive Disorder (MDD). Melihat rakan-rakan aku dihantar ke penjara kerana kelemahan pentadbiran atau birokrasi melampau yang menyekat hak rakan-rakan aku untuk membuat rayuan, membuatkan aku panik, sedih, benci, bercampur linangan air mata yang masih aku ingat lagi mengalir tanpa aku perasan, di ruangan menunggu mahkamah, sambil teresak-esak, merasakan kerja aku kurang bagus bagi mereka yang memerlukan. Aku masih menyalahkan diri sendiri atas kekurangan tersebut.

Namun, seperti adiwira kegemaran aku, aku perlu faham bahawa hakikatnya aku hanya makhluk biasa dan aku memerlukan rakan superhero yang lain untuk membantu aku. Aku boleh jatuh, aku juga sememangnya boleh sakit dan menangis.

Baru-baru ini pula, aku telah dibuang kerja kerana status positif HIV aku. Buat pertama kalinya aku rasa sangat lemah, rentan (vulnerable) dan merasa tamparan diskriminasi yang aku tidak pernah bersedia untuk hadapinya. Ini kerana aku tidak pernah sebelum ini ditindas dengan cara yang begitu sistematik. Disebabkan aku seorang yang hanya tahu merintang melawan diskriminasi, aku terlepas pandang untuk membuat apa-apa laporan kepada badan berwajib terhadap diskriminasi-diskriminasi tersebut. Jadi, maafkanlah aku kerana kelemahan itu.

Aku fikir, aku bertanggungjawab untuk komuniti aku. Bukan untuk diri aku. Bukan untuk closure atau balasan untuk kepuasan aku. Tapi tidak lain tidak bukan, untuk komuniti aku! Namun, aku lega kerana saat maruah aku dilanyak dan dicantas oleh penganut agama wang, rakan-rakan ada bersama aku. Kadang hanya mendengar, kadang menawarkan solusi. Waktu itu aku tidak peduli asalkan aku tidak bersendiri.

Jadi kepada kamu semua yang sedang menderita, yang kelaparan, yang ditindas, dan yang dilayan sebagai satu wabak berjalan, kau adalah seorang SUPERHERO, untuk keluarga, komuniti dan yang lebih penting untuk diri kau sendiri dan aku janji kau tidak bersendiri! 

~ ~ ~ 

Sang Perintang adalah seorang manusia bukan komponen elektronik yang pada setiap waktu boleh dijumpai berkeliaran di alam maya.

Leave a Reply