Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Dari‌ ‌Dataran‌ ‌Merdeka‌ ‌ke‌ ‌Penjara:‌ ‌Siri‌ ‌Pekerja‌ ‌Seks‌ ‌Queer‌ ‌Lapis‌ ‌Bhg‌ ‌1‌

Oleh VINODH PILLAI | Nov 27, 2020

“IBU TUNGGAL ANAK tujuh mengaku salah tawar khidmat seks”.

“Bukit Aman gempur 3 premis, tahan 17 pelacur asing”.

“Wanita lacur diri RM300 sejam”.

Tiga-tiga tajuk berita terkini ini berkaitan penangkapan pekerja seks terlalu biasa di Malaysia. Tambahan pula, aktiviti mencari pelanggan bagi tujuan khidmat seks adalah salah di sisi undang-undang. Maka, tidak hairanlah pekerja seks selalu diberi persepsi yang buruk.

Apakah cerita-cerita kemanusiaan di sebalik tajuk berita yang stigmatik? Bercakap dengan pekerja seks, aktivis pekerjaan seks, dan peguam, Queer Lapis mengajak anda mendengar realiti hidup pekerja seks di Malaysia yang sering diketepikan media dan dilupakan dalam sejarah. Artikel ini adalah bahagian pertama daripada empat siri berkaitan pekerja seks oleh Queer Lapis.

Pekerjaan seks dulu dan sekarang

Tidak mustahil untuk membayangkan pekerja seks era 60-an pulang ke rumah selepas semalaman melayani pelanggan dengan memperoleh bayaran ribuan ringgit tunai, menurut bekas pekerja seks, Khartini Slamah, atau lebih mesra dipanggil Kak Tini. Pekerja seks biasanya menjalankan aktiviti di rumah khidmat seks atau di sepanjang Jalan Chow Kit di tengah-tengah Kuala Lumpur, yang terkenal dengan jolokan “syurga” bagi pekerja seks.

“Dulu, kami pergi ke Dataran Merdeka, atau kami panggil Kowloon, di belakang Globe dekat Jalan Tunku Abdul Rahman, tempat letak kereta, di belakang teater yang sebelum itu dijadikan panggung wayangdan tentu saja lorong Chow Kit. Ini adalah tiga tempat paling popular untuk kami cari duit. Dan tentu saja, sebelum itu di Bukit Bintang, ia adalah kawasan Hilton,” kata Kak Tini yang kini menjadi aktivis terkenal hak transgender dan pekerja seks.

Kadar bayaran dan pelanggan berbeza mengikut tempat anda mencari pekerja seks. Contohnya, mereka yang mencari makan di lorong-lorong mengenakan bayaran RM70 setiap pelanggan, sementara “short call” bernilai antara RM100 hingga RM200 setiap seorang. Mereka yang sering mencari pelanggan di Dataran Merdeka, sebaliknya, akan muncul di dalam kereta dan harganya juga berbeza. Beginilah cara pekerja seks, tidak kira pekerja seks lelaki ataupun wanita cisgender, mencari pelanggan. Ia dijalankan dengan cara yang sama sehingga hari ini.

Selvi memperjuangkan hak pekerja seks wanita selama lebih 20 tahun. Dia mengimbau bagaimana pekerjaan seks pada awal tahun 1990-an berkembang dan kurangnya kawalan ketat—pekerja seks boleh mencari pelanggan dengan aman, walaupun kadang-kala ada serbuan oleh pihak berkuasa. Namun ketika serbuan dan tindakan keras mulai meningkat, kebanyakan pekerja seks mula mencari pelanggan secara dalam talian, dan kini mengiklankan perkhidmatan mereka melalui platform media sosial, aplikasi temu janji dan sistem pesanan ringkas.

Selvi

Pekerja migran kebanyakannya terlibat ketika itu (tidak bermakna warga tempatan tidak terlibat). Kini lebih ramai warga tempatan melakukan pekerjaan tersebut. Pada 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia menganggarkan terdapat 22,000 pekerja seks wanita di Malaysia—tanpa mengenal pasti status kewarganegaraan mereka—walaupun satu kajian yang tidak diterbitkan pada 2010 menunjukkan sejumlah 60,000 pekerja seks, termasuk 20,000 yang kebanyakannya wanita transgender.

“Baru-baru ini, saya keluar bersama rakan, dia juga berkata di kampung-kampung juga ada aktiviti itu, mereka masih melakukannya. Mereka adalah remaja berumur sekitar 14-15 tahun. Disebabkan mereka menggunakan telefon bimbit, (mereka) meminta pekerja migran untuk tambah nilai kredit telefon saya dan kemudian saya menunjukkan tubuh saya, bahagian alat sulit dan segalanya, semua itu, mereka lakukannya. Tetapi saya tahu pekerja seks masih wujud (walaupun mereka) bersembunyi, tidak muncul di khalayak ramai. Ia dah jadi sebuah komuniti; orang dapat tahu siapa yang jadi pekerja seks,” kata Selvi.

Kak Tini dan Selvi menyedari para pekerja seks kian meninggalkan bandar. Bimbang ditangkap, mereka berpindah-randah, menyebabkan aktivis seperti Kak Tini sukar menyaring mereka untuk penyakit jangkitan seksual (STD) dan virus kurang daya tahan manusia (HIV) jika mereka tidak tinggal di satu kawasan untuk jangka masa yang panjang. Untuk mengelak pengawasan pihak berkuasa, pekerja seks berpindah ke negeri atau negara lain.

Sebahagian alasan perpindahan ini juga disebabkan penghijrahan pekerja seks warga migran ke negara kita. Terdapat kemasukan pekerja seks dari selatan Thailand dan Indonesia. Pelanggan mungkin menganggap mereka berasal dari Kedah atau Pulau Pinang kerana mereka dapat bertutur dalam bahasa Melayu, menjadikan persaingan sukar bagi pekerja seks tempatan. Dan jika mereka adalah pekerja migran dan tertangkap—ini adalah masalah berganda buat mereka; mereka perlu mengeluarkan banyak wang untuk diuji atau dirawat untuk penyakit STD atau HIV dan selalunya ada kemungkinan dihantar pulang.

Serbuan, lokap dan ‘titik noktah’ kerja seks

Walaupun dengan bayangan selamatnya untuk mencari pelanggan melalui dalam talian, pekerja seks hari ini masih bimbang dengan peningkatan serbuan dan tindakan keras beberapa tahun kebelakangan ini. Di Malaysia, “mencari langganan bagi maksud persundalan” adalah kesalahan jenayah dan mereka yang disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pekerja seks wanita biasanya diangkut oleh polis semasa operasi biasa di “daerah lampu merah”. Sementara itu, wanita transgender selalu ditangkap kerana disyaki melakukan kerja seks atau kerana “berpakaian menyerupai wanita” yang dikategorikan sebagai jenayah dalam pelbagai undang-undang, termasuk undang-undang syariah (Malaysia mengamalkan sebuah sistem kehakiman berganda—sivil dan syariah).

Kak Tini mengenang kembali pekerja seks pada akhir tahun 80-an dan awal 90-an yang tidak menyedari hak mereka, mengaku bersalah dan membayar denda berbanding mencabar penangkapan mereka. Sesetengahnya mendakwa mereka diugut akan dipenjarakan jika mereka tidak mengaku salah. Pihak berkuasa juga akan menggunakan agama untuk memaksa mereka mengaku salah, mengatakan pekerjaan seks sebagai berdosa.

“Dan tentu saja, wanita transgender berusaha untuk tidak masuk lokap kerana pada masa lalu, kami ditempatkan dalam lokap yang sama dengan lelaki. Sekiranya anda mempunyai payu dara pada masa itu, lelaki akan merogol anda. Tetapi bagaimana anda boleh membuat laporan bahawa anda dirogol? IC anda adalah lelaki…”. Di bawah undang-undang Malaysia, rogol didefinisikan sebagai hubungan seks dengan seorang wanita tanpa kerelaan atau tanpa persetujuannya. Namun, ia tidak termasuk mangsa lelaki. Oleh sebab perundangan menganggap wanita trans sebagai lelaki, mereka tidak dilindungi di bawah undang-undang rogol ini.

Kak TIni

Jadi, sebagai sebahagian daripada tugasnya ketika bersama sebuah NGO berasaskan komuniti lelaki berhubungan seks dengan lelaki (MSM) yang digelar Pink Triangle (kini dikenali sebagai Yayasan PT), dia berusaha mendidik polis agar tidak meletakkan wanita transgender dan lelaki cisgender bersama di dalam lokap dan penjara, dengan jayanya.

Usaha itu membuahkan hasil bagi komuniti pekerja seks transgender tetapi perjalanannya masih panjang. Kak Tini berharap pasukan polis—dan sektor lain seperti khidmat kesihatan—akan peka daripada peringkat awal kerjaya mereka, supaya mereka lebih sedar tentang realiti kehidupan pekerja seks transgender. Sekarang, isunya melangkaui HIV/AIDS—kini lebih kepada kerangka hak asasi manusia.

“Jika mereka selalu kata, ‘Okey, kamu berhenti melacur’, okey, baiklah: bagaimana jika pekerja seks itu ditangkap semasa serbuan dan mereka diminta untuk berhenti?” tanya Kak Tini. “Sekiranya dia seorang ibu tunggal? Atau jika dia dipenjarakan—apa yang terjadi kepada anak-anaknya? Mereka tidak pernah memikirkannya. Ini bukan pendekatan holistik, jika bahkan sekadar meminta mereka berhenti begitu saja…”

Dia menambah: “Anda harus faham budaya pekerja seks—katakanlah, jika anda terbiasa dapat duit setiap hari, tiba-tiba anda bekerja di sebuah kilang, gaji hanya dapat sebulan sekali. Banyak beza tu. Anda perlu menggunakan duit setiap hari; maka tiada lagi simpanan. Tidak semua pekerja seks mempunyai simpanan… Saya dapat banyak duit, tetapi saya tidak pandai menguruskan kewangan dan simpanan ketika itu, juga tidak memikirkan tentang masa depan.”

Kak Tini berharap pihak berkuasa tidak memaksakan sesuatu yang tidak praktikal. Dia menyebut latihan, kemahiran dan pembangunan kapasiti perlu mengambil tempat dalam jangkaan yang realistik untuk pekerja seks bagi membolehkan mereka meninggalkan industri tersebut seterusnya mengambil bidang lain.

Tempatan dan warga migran

Motivasi tidak begitu berbeza bagi pekerja seks lelaki juga. Pada masa lalu, mereka juga terdiri daripada kebanyakan warga migran yang menginginkan wang tambahan, menurut penyelidikan Yayasan PT yang dilakukan sekitar sedekad yang lalu. Lelaki terbabit berusia 20-an hingga awal 30-an dan berasal dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Filipina malah sejauh Hong Kong dan China. Mereka, bagaimanapun, tidak tinggal lama, dan hanya datang ke sini dengan pas sosial.

“Mereka (datang) ke sini untuk tinggal sebulan dan pada masa itu mereka mungkin mendapat wang cukup untuk sekurang-kurangnya membiayai perbelanjaan mereka. Atau jika mereka mempunyai lebihan wang, maka mereka berbelanja lebih, dan kemudian mereka pergi ke negara lain seperti Singapura atau Taiwan atau di mana sahaja,” kata Raymond Tai, pemangku ketua pegawai operasi Yayasan PT. “Pusat wang tunai adalah Singapura, Hong Kong, yang utama, dan tentunya, Kuala Lumpur, bandar-bandar besar seperti Jakarta—di mana orang mempunyai kuasa beli lebih banyak untuk berbuat demikian.”

Penyelidikan Yayasan PT—yang belum diterbitkan kerana sekadar untuk semakan dalaman—juga mendapati pekerja seks lelaki beroperasi di pusat urut, tempat yang telah lama dikaitkan dengan pekerjaan seks. Lelaki muda yang menyediakan urutan mempunyai kaitan dengan stereotaip lelaki gay yang menarik: berotot, tampan dan muda, menurut Raymond—dan bergantung kepada tempat yang sering anda kunjungi, “khidmat tambahan” yang mereka tawarkan mungkin lebih jelas daripada yang lain.

Raymond

“Mereka akan mengenakan anda bayaran untuk urut, tetapi di dalam bilik, apa yang berlaku antara anda dan tukang urut tersebut adalah berdasarkan rundingan anda. Jadi… mereka memberi gaji pokok yang sangat rendah kepada tukang urut itu kerana mereka dijangka memperoleh lebih banyak pendapatan daripada tips yang diperoleh secara terus daripada para pelanggan,” tambah Raymond.

Pada masa itu, tidak ramai lelaki tempatan yang terlibat dalam pekerjaan seks, tetapi trend yang ketara adalah kedinamikan kuasa dalamnya: lelaki muda akan mencari lelaki lebih tua, warga migran lelaki sebagai ganti makan malam, kemudahan hotel, atau bahkan berpeluang melancong ke luar negara. Digelar sebagai “khidmat pengiring”, khidmat seks biasanya disediakan tetapi tidak dipaparkan secara jelas di profil dalam talian mereka. “Saya mencari persahabatan” adalah salah satu cara umum untuk mengetahui jika seseorang mencari atau menawarkan seks.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna tidak ada pekerja seks lelaki tempatan dulu. Masa dulu, Kak Tini mengimbau memerhatikan “anak ikan” atau sugar baby” berpakaian bergaya atau “gigolo” dengan gajet dan pakaian terkini yang mencari makan berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Seperti pekerja seks wanita transgender dan transgender, pelanggan mereka juga berbeza; ada yang memilih wanita yang sudah berkahwin atau isteri VVIP.

“Tetapi ada juga pekerja seks lelaki muda pada masa itu yang tidak memenuhi pasaran tersebut (tetapi) kepada sesiapa sahaja yang mereka lihat, lelaki atau apa sahaja, hanya demi wang. Mereka tidak melihat diri mereka sebagai pekerja seks; itu sebabnya mereka tidak memahami istilah pekerja seks… jika anda bertanya, ‘Adakah anda pekerja seks?’, mereka tidak akan mengaku. Oleh itu, lebih baik hanya memanggil nama mereka… Anda tidak perlu bertanya. Sesetengahnya sangat terbuka, ada yang tidak. Ini kerana orang tidak mahu dilabel atau dikategorikan sebagai pekerja seks.”

Siapa yang boleh menyalahkan mereka? “Tidak orang ada yang mahu bergelar sebagai pekerja seks,” kata Selvi. Ini kerana mereka takut ditolak masyarakat dan ditangkap. Selvi berharap suatu hari nanti semua pekerja seks tanpa mengira identiti gender dapat bergabung bersama. Dia berkata: “Sekiranya Malaysia mahu mempertahankan hak pekerja seks, berseorangan tidak akan mendatangkan apa-apa”.

Jadi adakah pekerja seks wanita, pekerja seks lelaki dan pekerja seks wanita trans akan bergabung dan memperjuangkan hak mereka bersama? Ikuti bab seterusnya untuk mengetahui tentang apa yang berlaku kepada pekerja seks apabila mereka ditangkap, apa yang diperjuangkan oleh para pembela hak pekerja seks dan apa cabaran mereka.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Read in English.

Vinodh Pillai adalah seorang penulis isu-isu LGBTQ+.

Projek ini adalah kerjasama antara Vinodh Pillai, Queer Lapis dan Projek Dialog.

Ilustrasi oleh Art.Zaid.

Disunting oleh Pang Khee Teik, Thilaga, Ryan Ong dan Salami.

Diterjemah oleh Itawaliz Luziza.

Leave a Reply