Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Khunsa, Interseks, Transgender & Konotasi Pemahaman

Oleh REGINA IBRAHIM.

Imej dari buku “The physical basis of heredity” (1919)

“Ala… janganlah marah, I Khunsa you…,” kaum lelaki, perempuan dan semua jantina mula melawak demikian setelah Malaysia dilanda kejadian tempohari.

Dan kita, tanpa sebarang sensitiviti, ketawa terbahak-bahak.

Apa pulak? Sudahlah aku pening dengan terma-terma Mak Nyah, Trans woman, She-male, Cross dresser, Transvestite, ini apa pulak? Pelik sungguh dunia ini. Memanglah pelik, dunia yang luas dan berwarna-warni ini dihuni pelbagai hidupan, sebagai manusia, kita agak bernasib baik kerana diberikan akal.

Setiapkali muncul kisah-kisah panas tentang transgender kita pasti akan dilanda kekeliruan. Yusuf Azmi Pengasas Semboyan Satu Malaysia sewaktu diwawancara oleh pihak TV Sinar sendiri mengakui dia tidak arif akan hal ini. Seperti biasa, beliau mencadangkan agar ada sesi tarbiah tanpa menghina individu tersebut. Saya kira dia memberi jawapan yang sangat baik, daripada seorang lelaki cisgender yang tidak dapat menyelami naluri si transgender. Lebih baik berbanding laman-laman web panas yang mahukan rating tinggi dengan menyiarkan berita tentang pondan atau aib manusia lain.

(Pondan ialah terma yang digunakan sebagai perkataan payung bagi individu gay dan transgender, tetapi dianggap negatif dan telah ditolak oleh komuniti transgender di Malaysia. Pada tahun 1980-an, individu-individu transgender di Malaysia mengelarkan diri mereka sebagai mak nyah (gabungan mak dengan nyah, singkatan dari nyonya) untuk menggelarkan diri mereka. Pondan masih digunakan dengan konotasi yang negatif oleh pelbagai pihak, termasuklah media.)

Artikel ini bukan sahaja diharapkan memberi pencerahan pada para cisgender, tetapi juga untuk para Transgender yang mungkin tercari-cari letak duduk seksualiti dan identiti gender sebenar mereka dalam dunia. Sifat takut-takut lemah tidak pasti kerana tidak berilmu, bolak-balik fikiran serta emosi yang bagaikan lalang, jelasnya mereka yang harus cekal tetap apakah jantina sebenar mereka?

Ayuh kita lihat apakah maksud Interseks.

Interseks, atau dalam konteks kita yang dikenali sebagai khunsa mungkin tidak masuk akal atau luar biasa pada orang-orang biasa. Akan tetapi, terdapat kes-kes anak perempuan setelah membesar mengetahui kromosom dan tahap hormon yang berbeza, ada juga anak-anak lelaki yang bervagina dalam diam.

Terdapat banyak kisah-kisah dari negara-negara lain berkenaan individu interseks. Bagi negara seperti Malaysia kita jarang didedahkan tentang hal ini mungkin demi menjaga maruah keluarga dan ia bagaikan rahsia yang wajib disimpan rapat.

“Oh! maksud you di sebelah konek dia ada vagina ya? Tapi tidak sempurna?” tanya teman yang semakin teruja.

“Hmmm.. tidak tepat, interseks melibatkan banyak hal lain lagi, bukan sahaja genital sahaja.”

Apa sebenarnya interseks?

Terma ‘Intersexdiguna pakai secara umum bagi mereka yang lahir dengan ciri-ciri seks yang tidak terdiri atau yang tidak menepati definisi tipikal lelaki atau perempuan. Ada yang disebabkan oleh variasi kombinasi kromosom (tidak seperti jangkaan kromosom biasa XY — lelaki atau XX — perempuan), hormon, bentuk genital yang berbeza daripada bentuk vagina dan zakar tipikal atau binari.

Mereka bukanlah transgender yang berhempas pulas mahu transisi atau transition secara sosial, perubatan, iaitu melalui pembedahan atau dengan bantuan hormon (HRT) oleh sebab gender identiti. Senang cakap, Interseks berkenaan tubuh badan, acuan atau keadaan fizikal. Sementara para transgender melibatkan gender identiti. Para cisgender yang kurang akal akan terus melabel mereka yang interseks itu pondan atau wanita/lelaki jadian kerana kurang pendedahan pada hal-hal interseks. Kes-kes interseks jarang dijadikan perbualan dalam masyarakat kerana MARUAH keluarga dan masyarakat setempat.

Dalam bahasa mudah, mereka terdiri daripada kepelbagaian biologi, sukar untuk dibinarikan. Berikut adalah serba sedikit contoh mudah (sebenarnya banyak lagi):

  1. Fizikal perempuan tapi berzakar (meskipun saiz kecil)
  2. Fizikal lelaki tetapi mempunyai ovari
  3. Fizikal perempuan tetapi mempunyai testis yang tersorok
  4. Wajah dan fizikal lengkap perempuan tetapi tidak berpayu dara atau bersistem biologi dalaman perempuan (ovari, salur felopian dll)

INTERSEKS adalah hanya terma payung pada variasi sifat dan fizikal yang sebegini. Ada hal-hal interseks yang sudah jelas kelihatan sewaktu mereka masih bayi lagi, ada juga hal-hal interseks terlihat jelas apabila mereka dewasa sahaja. Ada interseks yang kelihatan biasa-biasa sahaja di mata orang ramai. Hanya mereka sendiri sahaja yang tahu bahawa mereka adalah interseks.

Mereka juga mengalami diskriminasi apabila berinteraksi dengan dunia. Ada ibu bapa yang mengambil langkah awal sewaktu mereka bayi untuk merawat keadaan interseks seseorang bayi, terutamanya jika melibatkan bahagian genitalia. Kanak-kanak interseks ada yang dirawat secara pembedahan, baik pulih hormon atau intervensi perubatan lain untuk dimasukkan dalam kotak binari. Setakat ini tidak ada bukti keberhasilan intervensi perubatan ini. Proses pembedahan yang dianggap sebagai satu bentuk mutiliasi sama seperti mutiliasi genital lain yang dijalankan tanpa persetujuan seseorang. Hal ini merupakan satu bentuk pencabulan dan mempunyai kesan yang mendalam dalam proses pembesaran seseorang itu. Intervensi perubatan dibenarkan dalam kes-kes yang membawa ancaman kepada nyawa.

Individu interseks mungkin dibesarkan sebagai perempuan atau lelaki ketika kanak-kanak mengikut perkiraan orang tua mereka, dan mereka akan mula mengenal pasti identiti gender apabila mereka akil baligh di kemudian hari.

Bendera Intersex direka oleh Organisation Intersex International Australia pada July 2013.

Pada tahun 2011, ada individu interseks yang berjaya menyaman institusi perubatan kerana ada campur tangan pembedahan yang tidak mendapat persetujuan individu tersebut. Pada April 2015 pula, Malta menjadi negara pertama yang menggariskan undang-undang intervensi perubatan tanpa persetujuan untuk modifikasi anatomi seks, sudah tentu ini juga melibatkan individu interseks. (https://en.wikipedia.org/wiki/Intersex)

Selain itu, ahli sukan wanita harus melakukan semakan biologi atau ujian verifikasi gender sewaktu mengikuti pertandingan sekiranya ada keraguan jantina. Menurut piawaian antarabangsa dan Institusi Hak Asasi dan Etika Manusia, organisasi interseks (International Intersex Organization) telah menggeluarkan kenyataan bahawa proses pulih yang disebutkan di atas adalah sejenis SALAH GUNA KUASA atau SALAH TATACARA.

Menjadikan jantina sebagai isu adalah tidak wajar. Tidak sopan apabila individu interseks diguna pakai untuk hal-hal jenaka dan menjadi tajuk utama apabila kita membicarakan tentang hal-hal yang dianggap sebagai celaru jantina. Perhatikan jenaka-jenaka di media sosial apabila masuk sahaja terma interseks atau khunsa. Ianya bagaikan sesuatu yang lucu, dijadikan bahan lawak. Maka berhentilah berlucu jenaka bahawa kamu adalah khunsa atau interseks hanya untuk menceriakan suasana. Ianya tidak manis. Tidak sopan.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Regina Ibrahim sudah menulis beberapa buah buku tentang seksualiti antaranya Perjalanan, Lebih Duka Dari Suka, Buku Mak Nyah dan Budiman. Tidak lain tidak bukan beliau berharap pada kesejahteraan hidup sesama manusia melalui advokasi pengertian penuh hormat.

Leave a Reply