Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Bagaimana Kalau, Inilah Fitrahku?

(sumber: giphy.com)

Oleh Ahmad Ain | 3 Januari 2020

Asrama bagaikan syurga dunia buatku. Semasa itulah mataku diperkenalkan dengan lelaki tak berbaju, lelaki yang melenggang berjalan dengan hanya seluar dalam, lelaki dengan bonjolan morning wood di sebalik tuala.

Tetapi aku masih seorang yang rapat dengan agama. Masih solat lima waktu, masih mengaji. Malah aku pun lebih suka berkawan dengan budak-budak surau.

Sepanjang aku membesar, aku tiada masalah untuk melakukan hal-hal agama. Orang solat, aku solat. Orang mengaji, aku pun mengaji. Malah, aku sendiri pernah mewakili sekolah dalam pertandingan tarannum al-Quran. Jadi agama dan aku bukanlah sesuatu yang asing.

Pergolakan Seksualiti dan Kepercayaan

Masuk saja kolej, aku diperkenalkan dengan konsep usrah, yang membuka mata aku untuk melihat agama yang aku anuti ini di satu sisi yang lain. Dan aku menjadi antara orang yang sanggup untuk korbankan apa saja untuk agama. Mungkin bagi kau, ia kedengaran ekstrem, tapi pengorbanan dalam konteks aku di sini cumalah tenaga dan masa. Dan mungkin kadang-kadang wang, jika ada lebihan duit biasiswa.

Waktu inilah pergolakan, peperangan, pergaduhan antara agama dan seksualiti dalam diri aku menjadi semakin hebat. Aku merasakan sangat-sangat berdosa kerana mempunyai perasaan terhadap lelaki. Memang sepanjang masa aku berfikir, aku betul-betul mahu berubah menjadi ‘normal’.

Maka setiap kali habis solat, doa aku akan diselitkan dengan permintaan pada Tuhan, “Ya Tuhan, buangkanlah rasa suka aku kepada lelaki sampai bila-bila. Jadikanlah aku seperti lelaki-lelaki lain. Aku merayu pada-Mu yang Maha Segalanya.” Dan dalam setiap sujud terakhir solat-solat malamku, sejadahku pasti basah dengan air mata, bahuku akan terhinggut-hinggut, dan dahiku akan merah kerana lamanya aku bersujud. Betapa aku mahu menjadi seorang lelaki ‘normal’. Dan aku teruskan kehidupan dalam penafian. Aku kunci dan sorok diriku yang satu lagi — diriku yang sebenar — jauh-jauh agar tak siapa dapat hidu, tak siapa dapat tahu.

Inilah Fitrahku

Lama aku sorokkan diri sebenar aku, sampailah satu hari, apabila kawan yang aku kenali, kawanku yang sudah sangat selesa dan menerima diri sebenarnya, mengajakku untuk menghadiri sebuah gathering. Awalnya aku takut. Ya lah, ini pertama kali aku berinteraksi dengan orang yang mempunyai seksualiti yang sama, tetapi di situlah aku menemui diriku. Menemui orang-orangku.

(Sumber: giphy.com)

Dan di situ juga aku berjumpa dengan Qalbi (bukan nama sebenar). Aku dapat melihat diriku dalam Qalbi. Sedang yang lain bersosial, dia pasti akan meminta diri untuk solat apabila sudah masuk waktunya.

Maka aku pun menghampirinya dan bertanya, “Bagaimana kau begitu selesa sekali dengan seksualiti dan agama kau serentak? Tidakkah hati kau menjerit kau hidup dalam dosa kerana kau berbeza dengan lelaki lain?”

Jawabnya, “Tuhan itu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Bagaimana kalau naluri suka lelaki ini sebenarnya mempunyai konsep yang sama dengan seorang lelaki ‘normal’ yang sukakan perempuan? Bagaimana kalau memang kita dilahirkan seperti ini, dan sampai bila-bila pun akan jadi begini? Bagaimana kalau, inilah sebenarnya fitrah kita?”

Soalan-soalan yang diajukan Qalbi, buat aku betul-betul berfikir. Otakku mengatakan aku perlu berubah, kembali kepada fitrah. Tetapi hatiku benar-benar percaya yang memang inilah sebenarnya fitrahku.

Selepas peristiwa itu, aku ambil masa lama juga untuk aku berfikir dan muhasabah. Otak dan hati berlawan-lawan. Akhirnya aku capai satu kesimpulan. Setiap agama itu dilandaskan dengan kepercayaan dan iman. Juga, aku sangat-sangat percaya, Tuhan itu Maha Menyayangi, dan Dia sayangkan aku seadanya. Aku yakin, Tuhan itu Maha Mengabulkan, jadi jika rintihan aku selama ini untuk ‘kembali’ suka pada perempuan tak diperkenankan, ini bermaksud mempunyai perasaan suka kepada lelaki sejak kecil itu adalah sesuatu yang tidak salah. Aku percaya Tuhan itu Maha Melapangkan, jadi Dia telah lapangkan hati aku untuk menerima diriku sepenuhnya tanpa perlu mengurungya lagi.

Setelah aku fahamkan semua ini, aku menjadi tenang. Aku tak lagi rasa berdosa setiap masa hanya kerana fitrahku berbeza daripada lelaki lain. Apabila terdapat hal yang berkaitan agama dan seksualiti timbul, aku tidak lagi keliru kerana aku percaya, Tuhan menerima aku sebagai aku. Tuhan memang lahirkan aku begini, dan aku tak perlu ubah diri aku menjadi yang lain kerana ia akan melawan fitrahku. Aku tak perlu buang agama untuk menjadi selesa dengan seksualitiku, dan begitu juga dengan sebaliknya.

Kini, aku tak malu lagi untuk katakan, “Aku Muslim, aku gay, dan aku okey!”
~~~
Ahmad Ain boleh dijumpai di Kinokuniya, mencari idea di antara sela-sela buku. Jikalau tidak menulis, dia boleh dijumpai di dalam biliknya, sedang berangan. Oh, jikalau mahu membaca cerita siri “BL”nya yang tergantung, boleh cari akaun @Ahmad_Ain di Wattpad.

1 Comment

  • Farishah
    at

    I am so happy that you are no longer being held back by religious guilt!

Leave a Reply