Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Tiada akses kepada keadilan bagi LGBT dalam sistem perundingan

Oleh JUSTICE FOR SISTERS.

Kes sebatan dua orang wanita di Terengganu pada 3hb September merupakan satu titik hitam yang traumatik bagi rakyat Malaysia, terutamanya individu LGBT dan golongan wanita.

Justice for Sisters telah mengikuti perkembangan kes ini sejak awal dan telah turut hadir di mahkamah pada 3 September sebagai pemerhati selain memberi sokongan kepada kedua-dua wanita tersebut. Walaupun tidak mengenali mereka, kami hadir sebagai tanda solidariti kerana kami yakin bahawa apa yang berlaku kepada mereka adalah satu bentuk penindasan. Tidak dapat dibayangkan segala tekanan dan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh mereka dalam mengharungi proses hukuman.

Antara isu yang dibangkitkan adalah kedua-dua wanita tersebut mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat rayuan, namun sekiranya mereka tidak mempunyai akses kepada sokongan perundangan yang menjaga hak dan kepentingan mereka, bagaimana boleh mereka melakukan rayuan tersebut?

Menurut laporan Harian Metro pada Julai 2018, kedua-dua wanita mengaku tidak bersalah pada hari sebutan kes. Susulan itu, tarikh baru bagi sebutan semula kes ditetapkan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. Kedua-duanya diikat jamin dengan RM 3,000 seorang. Apabila seseorang itu tidak mengaku bersalah mereka dilepaskan dengan ‘bond’ mahkamah sebagai jaminan yang mereka akan menghadiri perbicaraan seterusnya.

Akses kepada sokongan perundangan adalah satu perkara yang sangat kritikal bagi semua orang, terutamanya individu LGBT dalam kes-kes sebegini. Mengikut pengalaman Justice for Sisters dalam memberikan sokongan perundangan kepada individu-individu LGBT, terutamanya individu transgender, kami dapati amat sukar sekali untuk mendapatkan khidmat peguam apabila hendak mempertahankan diri di mahkamah. Kami juga pernah berdepan situasi di mana individu-individu wanita transgender yang pada mulanya tidak mengaku bersalah terpaksa mengaku salah akibat ketiadaan peguam yang memahami dan menghormati anak guamnya, atau mampu memberi nasihat guaman yang betul.

Berdasarkan pengalaman kami, kedua-dua wanita tersebut yang pada mulanya tidak mengaku bersalah mungkin tidak dapat mencari peguam syariah untuk mewakili mereka lalu menukar pengakuan mereka kemudian.

Terdapat banyak perkara yang menafikan atau menidakkan keadilan bagi individu LGBT termasuk kesukaran untuk mendapat akses kepada peguam syariah yang menghormati hak kemanusiaan anak guamnya. Selain itu, individu LGBT juga mungkin tidak mendapat sokongan daripada kawan-kawan dan keluarga malah mengalami penyisihan, reaksi negatif serta tekanan daripada stigma masyarakat dan sensasi media massa.

Penting untuk dinyatakan bahawa bantuan kerajaan melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Jabatan Bantuan Guaman tidak memberi perkhidmatan peguam syariah secara percuma untuk kes-kes jenayah syariah. YBGK hanya menyediakan bantuan guaman bagi kes-kes sivil dan kes-kes cerai percuma untuk golongan berpendatan rendah.

Kedua, harus diingati bahawa bukan semua peguam, terutama peguam syariah, mahu mengambil kes berkenaan isu-isu LGBT. Realitinya agak mustahil untuk mencari peguam syariah untuk mewakili individu LGBT dan mempertahankan haknya. Justice for Sisters sendiri sudah banyak kali mengalami kesukaran dan buntu dalam cubaan mendapatkan peguam syariah yang berani mewakili kes-kes individu LGBT, dan pada masa yang sama menghormati identiti klien LGBT. Apabila peguam tidak menghormati identiti  anak guam mereka, ini meningkatkan lagi ketidakyakinan pada keadilan dalam sistem perundangan syariah di Malaysia.

Jika ada peguam yang sudi mewakili individu LGBT, nasihat guaman mereka selalunya adalah agar anak guam mereka mengaku bersalah supaya kes tidak berlarutan. Ada kalanya, sudah wujud prasangka dan prejudis terhadap individu LGBT sebelum menilai kes terlebih dahulu. Peguam-peguam syariah juga tidak terbuka kepada hujah dan dalil yang lebih progresif dan berasaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Artikel 5 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia menetapkan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk dibela oleh peguam pilihannya. Adalah tidak memadai jika hak itu wujud sekadar tulisan teks dalam Perlembagaan. Justeru, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan akses kepada peguam bagi semua jenis kes di bawah mahkamah syariah.

Perlaksanaan hukuman sebatan

Sepertimana yang telah berlaku pada 3 September 2018, jam 10 pagi, dua orang wanita disebat 6 kali setiap seorang di depan khalayak. Hukuman itu dilaksanakan oleh pegawai Jabatan Penjara daripada Kajang dan Pengkalan Chepa.

Banyak yang perlu diteliti dalam kes ini. Pertama, walaupun hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, perlaksanaan sebat dikendalikan oleh pegawai Jabatan Penjara daripada Kajang, Selangor dan Pengkalan Chepa, Kelantan. Jabatan Penjara terletak di bawah kuasa kerajaan pusat. Persoalannya, apakah peranan kerajaan pusat dalam perlaksanaan hukuman tersebut?

Sebatan dan pengaiban terhadap kedua-dua wanita tersebut adalah zalim dan satu bentuk penyeksaan. Cara pengendalian kes mereka, bermula dengan penangkapan sehinggalah hari ni setelah hukuman dilaksanakan, amat tidak berperikemanusiaan. Mereka diaibkan begitu teruk sehingga video yang menunjukkan mereka diserbu media tersebar luas di media sosial. Malah istilah keji seperti ‘pasangan songsang’ digunakan oleh media untuk merujuk kepada mereka. Ada juga yang membuat perbandingan antara sebatan di penjara sivil dan sebatan mengikut syara’ tanpa memahami impak psikologi yang dialami kedua-dua mereka dan impak hukuman sebatan secara umum. Kesemua ini meningkatkan lagi trauma dan stigma terhadap mereka.

Ada pula pihak yang menyuarakan sokongan terhadap hukuman sebatan tersebut dengan menyatakan hukuman ini ialah satu bentuk rahmat daripada Allah. Kerajaan Negeri Kelantan dan Pahang kini juga bercadang untuk memperkenalkan hukuman sebat untuk individu LGBT di negeri masing-masing.

Kami bimbang dengan cara pemikiran sebegini. Masyarakat Malaysia harus memandang serius penerimaan dan normalisasi keganasan sebagai satu bentuk pengajaran dan rahmat dari Tuhan. Kita tidak boleh menjustifikasikan pengaiban, penyeksaan, dan keganasan di atas nama agama dan Tuhan. Pengaibkan dan kebencian terhadap kedua-dua wanita tersebut adalah perbuatan manusia yang lahir daripada perasaan prejudis. Ia bertentangan sama sekali dengan prinsip-prinsip yang diketengahkan semua agama yang menekankan keadilan sosial dan kasih sayang.

Sebagai masyarakat madani kita harus memastikan perkara ini tidak lagi berterusan. Kita haruslah menghentikan semua bentuk hukuman sebat kerana hukuman ini tidak berfaedah kepada sesiapa dan ternyata ia  adalah satu betuk penyeksaan semata-mata.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Wanita tak mengaku cuba lakukan seks sejenis 

Terengganu public caning marks one of the most degrading and cruel forms of sentencing in Malaysia’s history

UPR: Apabila rekod hak asasi manusia di Malaysia diletakkan bawah kanta pembesar

Leave a Reply