Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Catatan Picisan Penulis Lucah | The musings of a pornographic writer

Oleh: Aidan Sha’ari

10 bulan yang lalu, saya tergerak hati untuk mula menulis satu penulisan pornografi di laman Wattpad sebagai satu eskapisme dari kecamukan politik dan sosial yang berlaku di Malaysia. Karya yang pada awalnya bertunas dari keperluan untuk mengepung diri dari kebobrokan masyarakat akhirnya mula mengambil nafas sendiri dan menjadi sesuatu yang lebih besar dari jangkaan saya. 

Journal Seks Aidan berkisar tentang Aidan, seorang biseksual yang mula bereksperimentasi secara seksual bersama kawan baiknya sedari umur 15 tahun semasa mereka di asrama. Hubungan dengan kawan baiknya itu mula berubah, tanpa perlu diucapkan kedua-duanya tahu yang perhubungan mereka sekarang lebih dari persahabatan biasa. Namun, masing-masing mengerti kehendak nafsu sendiri. Daripada mengongkong kehidupan mereka dalam satu perhubungan monogamus, mereka lebih selesa menjalinkan satu perhubungan terbuka. Syahril yang juga seorang biseksual–lebih selesa dengan imej hetronormatif–lebih berhati-hati dengan perhubungannya yang lain yang hampir kesemuanya dengan perempuan sahaja. Aidan yang memang selesa dengan kulit sendiri lain pula ceritanya.

Karya fiksi yang berlatarkan penghujung 90-an dan tahun-tahun awal 2000 itu adalah langkah pertama saya berjinak bukan sahaja dalam penulisan fiksi tapi juga pornografi. Berani saya sebutkan yang karya ini adalah satu penulisan pornografi dan bukan erotika kerana saya secara sedar membuat keputusan untuk menulis cerita ini dengan menggambarkan perlakuan-perlakuan fizikal secara jelas yang terkadang terlepas sisi-sisi perasaan dan emosinya, sedangkan karya erotika berusaha untuk menggambarkan satu perbuatan fizikal yang intim dalam kata-kata yang mengandungi segala lapis-lapis perasaan fisiologi dan emosi.

Karya ini ditulis dalam Bahasa Melayu, walaupun diselang-selikan dengan Bahasa Inggeris. Keputusan untuk menulisnya dalam Bahasa Melayu adalah satu keputusan sedar yang dibuat atas dua sebab: satu, ia adalah satu penghormatan terhadap naskhah erotika dan makalah lucah yang dijual terbuka di hentian-hentian bas zaman 90-an, yang kami budak asrama akan beli dan seludup ke dalam asrama; dan sebab kedua adalah, penulisan ini menjadi ruang untuk saya melatih diri untuk menulis dan berfikir dalam Bahasa Melayu. 

Nama pena Sundal McWhore dipilih sesuai dengan tema penulisan yang sarat dengan kehendak berahi syahwat manusia. Kisah cinta yang dipamerkan hanyalah penyedap cerita, apa yang sebenarnya hendak diketengahkan adalah naratif aksi seksual yang boleh membangkitkan nafsu si pembaca. Pernah sekali saya berseloroh dan katakan pada seorang teman yang penulisan ini adalah khidmat negara dari saya dengan memberikan orgasma pada pembaca agar fikiran mereka saat mengapresiasi  tidak terbelenggu dek masalah diri serta polemik sosiopolitik yang kian kencang. Releasing endorphins one orgasm at a time, itu misi saya! 

Projek picisan yang tidak saya berikan penelitian intelektual yang besar ini telah menarik beberapa orang pembaca. Ada dikalangan mereka yang meninggalkan komentar galakan, ada juga yang menghantar mesej peribadi. Tujuan saya menulis catatan ini adalah untuk membincangkan mesej-mesej peribadi yang saya terima. Kandungannya yang membongkar 1001 kisah manusia yang membuatkan saya terkadang melengung seorang diri. 

Melalui pengamatan saya, sifat dan keperibadian manusia lebih mudah untuk diselak bila ditutup dengan ketanpanamaan. Di sebalik nama palsu yang dipaparkan, kita rasa lebih merdeka untuk berkelakuan sebagai mana kehendak hati tanpa risau akan apa-apa akibat. Mungkin itu apa yang dirasakan oleh pembaca-pembaca yang menghantar mesej yang terkandung pengakuan dan pengalaman mereka. Bagi mereka, orang tidak boleh menghakimi mereka jika tidak bertentang wajah dan kenal akan masing-masing. Jadi segala pengalaman yang mereka pendam dari orang sekeliling diluahkan ke dalam kotak mesej saya. 

Salah satu cerita yang memberi kesan mendalam pada diri saya adalah dari seorang pembaca yang berkongsi pengalamannya dirogol oleh anggota keluarga angkatnya (yang juga saudara sendiri) bermula dari umur 14 tahun, setelah kematian ibu mereka: dari bapa sehinggalah ke adik-beradik lelaki. Dia yang menjadi syahwat kebinatangan mereka, akhinya mengandung anak mahram sendiri. Dalam kebingungan membawa kandungan itu, dia masih terus menyimpan rahsia gelap keluarga sehinggalah satu hari dia melahirkan anak yang dikandung dalam tandas sekolah. Terbongkarlah semua rahsia. Bapa angkatnya diheret ke muka pengadilan. Tapi nasi sudah menjadi bubur, pada ketika itu si mangsa bergelut pula dengan ketagihan seks yang mengakibatkan hidupnya tunggang langgang. 

Luka dan kesan psikologi yang diterima bahana deraan seksual bapa dan abang-abangnya sentiasa membayangi kehidupan wanita ini. Natijahnya, dia turut menjadi mangsa rogol oleh mereka yang disangka teman dan bergelut dengan rasa rendah harga diri. 

Nasib akhirnya menyebelahi wanita malang ini. Setelah bertahun-tahun berdepan dengan masalah ketagihan seks dan hidup dalam onar, dia bertemu dengan bakal suami yang menerima dia seadanya dan cuba secara perlahan untuk membina semula kepercayaan wanita ini terhadap manusia lain, terutamanya suami sendiri.

Saya yang tergamam seperti orang bodoh semasa pertama kali dihadapkan dengan kisah ini akhirnya bersahabat baik dengan wanita perkasa ini. Tak tercerna otak saya dengan apa yang dia lalui dan fikiran sering berputar kembali kepada persoalan kenapa dia memberikan kepercayaan penuh pada saya sehingga berani meluahkan kisah yang tidak diketahui ramai orang sekeliling kecuali keluarga terdekat (mereka yang menyaksikan sendiri bapa angkatnya diheret ke muka pengadilan). 

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang saya terima, baik dari lelaki mahupun perempuan, ada juga pengakuan tentang kink yang mereka malu untuk bicarakan dengan orang sekeliling. Bila ditanya mengapa mereka berasa selesa untuk berkongsi dengan saya, jawapan yang selalu diterima adalah kerana perwatakan manusia dalam kisah Journal itu sangat terbuka bila berdepan dengan persoalan seksual dan seksualiti, maka saya sebagai penulis kisah itu secara rasionalnya mungkin tidak akan menilai mereka serong.

Ini membuatkan saya sedar akan satu hakikat. Sebagai satu masyarakat, kita sememangnya menganggap perihal seks dan seksualiti itu sebagai yang tabu, kotor dan jelek. Namun, bagaimana mungkin sebagai makhluk bersyahwat dan berakal, kita tidak pula mampu untuk membincangkan isu ini secara terbuka serta bebas dari penilaian dan sifat menghukum? 

Bertahun-tahun lamanya, sahabat saya si pembaca yang menjadi mangsa rogol itu menyalahkan diri kerana dirogol oleh bapa dan abang-abang sendiri. Jika dia mempunyai ruang dan peluang untuk meluahkan apa yang berlaku semasa ia berlaku dan berasa selamat  untuk bercakap secara jujur, mungkin tidak dia terjerumus ke dalam kancah onar yang memakan diri. Mungkin juga masa depannya lebih cerah dari sekarang. Bayangkan potensi dirinya jika dia tidak diperlakukan sebagai pemuas nafsu jantan keparat semata-mata. 

Buat masa sekarang, otak saya masih lagi mencerna kisah-kisah dan pengakuan-pengakuan yang masuk ke dalam inbox saya. Mungkin ada sesuatu dari pengalaman ini yang perlu saya pelajari tapi pengajaran itu masih belum dapat saya genggam. 

Saya akan terus menulis kisah Journal Seks Aidan selagi mana akal mampu berangan dan jari mahu menaip. Saya juga kini lebih bersedia untuk berdepan dengan mesej-mesej yang saya akan terima, baik yang elok mahupun yang buruk. Tapi sebagai makhluk yang kincir akalnya sentiasa berputar, otak saya akan sentiasa cuba mencari makna dari pengalaman menulis sastera cabul ini dan mungkin hasil pencarian itu dapat saya kongsikan dalam catatan-catatan yang akan datang. 

Aidan Sha’ari dan Sundal McWhore adalah dua nama pena yang penulis gunakan untuk menyembunyikan identiti diri, kerana dari belakang tabir purdah ini penulis dapat memerhatikan dunia tanpa rasa terkesan, dalam ruang ciptaannya sendiri. Journal Seks Aidan boleh ditemui di laman dan aplikasi Wattpad. 

Leave a Reply